Berita Semasa

Pembebasan Najib tiada campur tangan kerajaan

KUALA LUMPUR – Keputusan mahkamah melepas dan membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak melibatkan sebarang campur tangan dari kerajaan.

Menteri Komunikasi dan Digital selaku Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil menegaskan keputusan serta proses perundangan berhubung kes itu adalah proses perundangan yang harus dihormati semua pihak.

“Ini proses mahkamah, jadi kita perlu hormati, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berkali-kali ulangi bahawa beliau dan kerajaan tidak akan mencampuri urusan prosedur mahkamah.

“Bagi saya jika ada pihak yang buat tuduhan seperti itu, ia satu penghinaan kepada proses mahkamah.

“Kita hormat keputusan dan prosesnya. Jika nak dirujuk semula keputusan itu memang ada proses,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet, hari ini.

Sementara itu, Fahmi berkata, penubuhan satu jawatankuasa khas berhubung skandal 1MDB boleh diteliti jika ia boleh menjadi satu mekanisme penting untuk mempercepatkan proses mengembalikan dana itu daripada pihak terbabit.

Katanya, ketika ini, penubuhan jawatankuasa itu tidak diperlukan memandangkan proses mendapatkan semula dana berkenaan sedang dilakukan agensi terbabit.

“Ketika ini, perkara itu (penubuhan) tidak dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri dan proses mendapatkan semula dana sedang berjalan, selain ada beberapa perkara dikenal pasti segera dalam usaha mengembalikan wang rakyat.

“Proses (pengembalian dana) itu boleh dilihat apabila kerajaan berjaya mendapat persetujuan pengembalian lebih RM8.1 bilion daripada syarikat International Petroleum Investment Company (Ipic) dan Aabar Investments PJS, sekali gus satu kemenangan untuk rakyat,” katanya.

Mahkamah Tinggi hari ini  membebaskan Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy daripada tuduhan meminda laporan audit 1MBD.

Show More

Related Articles

Back to top button