UPKK 2023: 28,531 calon dapat 8A
PUTRAJAYA – Seramai 28,531 calon berjaya mendapat keputsuan 8A dalam keputusan Ujian Penilaian Kelas Al Quran dan Fardu Ain (UPKK) tahun 2023 yang diumumkan di sini, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, GPS UPKK tahun lalu menunjukkan peningkatan berdasarkan laporan analisis keputusan UPKK 2023 iaitu 1.89 berbanding 1.99 pada tahun 2022.
“Sukacita saya ingin memaklumkan bahawa pencapaian calon merujuk kepada penguasaan dalam pembelajaran meliputi kesemua mata pelajaran yang diuji.
“Indeks yang digunakan bagi pencapaian UPKK tahun 2023 ialah gred purata skor atau GPS, maka nilai yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik,” katanya dalam sidang media di Kompleks Islam Putrajaya.
Jelasnya, GPS mata pelajaran UPKK tahun 2023 juga menunjukkan peningkatan, antaranya mata pelajaran al-Quran sebanyak 1.35, Ulum Syariah sebanyak 2.52, Sirah sebanyak 2.31 dan Adab sebanyak 2.31.
Katanya lagi, mata pelajaran Jawi dan Khat pula meningkat sebanyak 1.97, Lughatul Quran sebanyak 2.56 manakala Penghayatan Cara Hidup Islam dan Amali Solat dengan masing-masing sebanyak 1.17.
Dalam pada itu katanya, semakan keputusan UPKK boleh dibuat pada 18 April 2024 (Khamis) pada 12 tengahari dan keputusan slip keputusan penuh boleh diperoleh di sekolah masing-masing pada 19 April 2024 (Jumaat) pada 9.30 pagi.