Konflik Iran-Israel: Malaysia gesa semua pihak tidak burukkan keadaan
PUTRAJAYA – Malaysia menggesa semua pihak yang terlibat untuk mengelak dan berhati-hati supaya tidak memburukkan lagi keadaan yang sedia tegang di rantau Timur Tengah.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia mengulangi objektif utama adalah untuk mencari keamanan dan penyelesaian kekal kepada nasib rakyat Palestin, dan bukannya memanjangkan lagi konflik.
“Malaysia seterusnya menyahut seruan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghentikan dan menamatkan permusuhan ini dengan serta merta.
“Sebarang bentuk serangan, ofensif atau defensif, akan membawa implikasi yang jika ia tidak dikawal akhirnya akan menyebabkan kematian lebih ramai lagi nyawa yang tidak berdosa,” kata Mohamad dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Sehubungan itu, kata Mohamad, Malaysia menggesa pihak-pihak yang berkenaan untuk meredakan persengketaan dan mewujudkan persekitaran yang diperlukan untuk menamatkan konflik ini dan tidak menggalakkan negara lain untuk bertindak secara agresif.
“Sebarang bentuk provokasi dan/atau tindakan balas akan memburukkan lagi konflik di wilayah berkaitan tidak akan memberi manfaat kepada Palestin.
“(Ini adalah kerana) Matlamat utama Israel adalah jelas iaitu mengalihkan perhatian masyarakat global daripada tindakan keji dan tidak berperikemanusiaan mereka di Palestin,” kata Mohamad lagi.
Serangan Iran ke atas Israel pada awal pagi tadi (waktu Malaysia) adalah sebagai serangan balas terhadap serangan bom awal oleh rejim Israel terhadap konsulat Iran di Damascus pada 1 April 2024.
Iran menyatakan, tindakan ini merupakan tindakan bela diri berdasarkan kepada Piagam 51 PBB, dang menganggap tindakan mereka terhadap Israel dibenarkan dan”dianggap selesai” setelah serangan dilancarkan.
Namun, Iran menegaskan, sekiranya rejim zionis atau sekutunya “melakukan sekali lagi kesalahan, tindak balas Iran akan jauh lebih berat”.