Berita Semasa

SKM peruntuk RM11.75 juta laksana program pembangunan koperasi

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperuntukan RM11.75 juta bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan agar memberi manfaat kepada koperasi-koperasi pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, jumlah tersebut merangkumi Program Pembangunan Perniagaan sebanyak RM6.75 juta.

Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi sebanyak RM2 juta dan Program Penggalakan Koperasi sebagai Social Enterprise (SE) sebanyak RM3 juta.

“Sehingga 31 Disember 2023, terdapat sebanyak 15,809 koperasi berdaftar di bawah SKM dengan jumlah keanggotaan seramai 7.31 juta orang.

“Jumlah modal syer/yuran pula sebanyak RM16.98 bilion, jumlah aset RM159.61 bilion dengan nilai perolehan berjumlah RM45.50 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di ibu pejabat SKM di sini, hari ini.

Lawatan tersebut adalah yang pertama diadakan setelah Ramanan Ramakrishnan dilantik sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Lawatan beliau disambut Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Pengurusan Tertinggi SKM, Pengarah Bahagian dan Negeri, Pegawai-Pegawai Kanan KUSKOP dan SKM.

Sementara itu bagi tahun 2024, SKM menyediakan Kemudahan Tabung Modal Pusingan sebanyak RM100 juta meliputi 8 jenis pembiayaan yang ditawarkan iaitu:

1. Pembiayaan Biasa;
2. Pembiayaan Khas Tanpa Cagaran (PKTC);
3. Pembiayaan Koperasi Mikro (MicCoopFi-1);
4. Pembiayaan Permulaan (SuFi-1);
5. Pembiayaan Lestari (LesFi-1);
6. Pembiayaan 100 Koperasi Terbaik (Best100Fi-1);
7. Good Pay Master Financing (GPMFi-1); dan
8. Pembiayaan Agromakanan (AFi).

Show More

Related Articles

Back to top button