Kerajaan digesa batal tawaran penjualan saham MAHB
PUTRAJAYA – Kerajaan digesa supaya membatalkan tawaran sukarela prasyarat yang dibuat oleh Gateway Development Alliance (GDA) untuk menjual saham Malaysian Airport Holdings Berhad (MAHB).
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin, mempersoalkan penjualan saham berkenaan yang dikatakan akan dinyahsenaraikan selepas tawaran tersebut selesai.
Menurutnya, perkara demikian tidak wajar dilakukan kerana syarikat itu menawarkan kepakaran dan potensi yang baik selain mempunyai nilai tinggi di sisi kerajaan.
“Adalah janggal apabila jumlah peratusan pegangan saham oleh ADIA dan GIP tidak dinyatakan dengan jelas di dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan.
“Mengapa hendak disorokkan? Seharusnya bagi satu tawaran besar sebegini, struktur pemilikan adalah jelas daripada awal tawaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan GIP dan rakan kongsi dari Abu Dhabi yang didakwa akan memiliki 30 peratus saham MAHB.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan MAHB yang mempunyai 39 lapangan terbang di seluruh negara itu sebagai aset strategik negara.
Katanya, kelebihan MHAB khususnya jaringan lapangan terbangnya dinilai sebagai satu komponen logistik yang amat penting dalam suasan persaingan ekonomi dan geo-politik dunia yang semakin mencabar.
Selain itu, MAHB turut mencatatkan keuntungan sebanyak RM543 juta dengan jumlah tunai di dalam akaun sebanyak RM1.845 billion untuk tahun kewangan 2023.
“Jadi di mana rasionalnya keputusan menggadaikan blok 30 peratus saham MAHB ini? Kalau hendak dikatakan MAHB membebankan, tentunya tidak,” ujarnya.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune