Prasarana perkenal ‘OKU Smile’
Pas perjalanan perkhidmatan awam percuma bagi golongan OKU
CYBERJAYA – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memperkenalkan pas ‘OKU Smile’ bagi golongan orang kurang upaya (OKU) yang menggunakan perkhidmatan rel dan bas kendalian syarikat itu bermula 1 Februari depan.
Menurut Prasarana, manfaat itu boleh dinikmati semua pemegang kad konsesi OKU Prasarana sedia ada dan pemohon baharu.
“Pengenalan inisiatif adalah susulan daripada pengumuman Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada 21 Disember lalu mengenai insentif tambang percuma untuk komuniti OKU bagi semua perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana,” kata Prasarana dalam satu kenyataan, hari ini.
Kata kenyataan itu lagi, pengaktifan dan permohonan baharu pas OKU Smile dibuka mulai esok.
Memperincikan cara melanggan pas tersebut, Prasarana berkata, bagi pemegang kad konsesi OKU Prasarana sedia ada, mereka boleh melakukan pengaktifan di mana-mana kaunter Rapid KL LRT, MRT, Monorel, BRT dan hab bas terpilih.
Pengguna hanya perlu memastikan mempunyai baki minimum RM5 untuk menggunakan pas terbabit.
“Bagi pemegang kad yang telah tamat tempoh, permohonan bagi mendapatkan kad baharu boleh dibuat di kaunter pendaftaran konsesi terpilih iaitu untuk Rapid KL, di hab Pasar Seni atau stesen MRT Conlay.
“Di Pulau Pinang, permohonan baharu boleh dibuat di Ibu Pejabat Rapid Penang, Terminal Bas Weld Quay, Komtar, Bukit Jambul, Balik Pulau, Bukit Mertajam, Kompleks Dato Kailan Kepala Batas dan Penang Sentral.
“Sementara di Pahang, permohonan boleh dikemukakan diRapid Kuantan, iaitu di Terminal Hentian Bandar,” katanya.
Pengguna yang ingin membuat permohonan pas terbabit perlu membawa bersama kad pengenalan dan kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tujuan verifikasi.
Tempoh masa pengeluaran kad di kaunter hanya mengambil masa 10 hingga 15 minit dengan bayaran serendah RM5 dikenakan bagi kos pengeluaran kad terbabit.
Kenyataan itu turut memberitahu, bagi pengguna Rapid KL dan Rapid Kuantan, permohonan kad konsesi boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman web www.myrapid.com.my.
Bagi mendapatkan maklumat lebih terperinci, orang ramai disarankan melayari laman web www.myrapid.com.my atau platform media sosial Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan.