Video individu sokong hubungan Malaysia, Israel hantaran lama – Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA – Semakan terhadap klip video tular berkenaan seorang individu yang mahu hubungan diplomatik dijalinkan antara Malaysia dan Israel mendapati ia dipaparkan pada Disember 2021.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, video lama itu ditimbulkan semula di media sosial
“Semakan menunjukkan ia (video) daripada YouTube ‘Malaysia And Israel – From Enemies To Allies?’. Berdasarkan carian dalam YouTube video itu adalah pada 17 Disember 2021, bukan 2023.
“Dua tahun yang lalu, waktu itu saya bukan menteri,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), di sini hari ini.
Fahmi berkata, persoalan mengapa tiada tindakan diambil terhadap video tular itu seharusnya ditujukan kepada Menteri Dalam Negeri dan Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu.
Terdahulu, satu video tular di media sosial berhubung seorang individu dikenali sebagai “Victor Yong Jen Ong” yang mahu hubungan diplomatik dijalinkan antara Malaysia dan Israel yang bertentangan dengan dasar kerajaan.