LUAR NEGARA

Krisis mental belenggu kru USS Abraham Lincoln

LONDON – Kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln yang terbabit dalam operasi ketenteraan berkaitan konflik dengan Iran dilaporkan berdepan krisis kesihatan mental yang semakin meruncing dalam kalangan anak kapalnya.

The Guardian yang memetik laporan dua penerbitan khusus ketenteraan, Navy Times dan Stars and Stripes melaporkan, terdapat beberapa cubaan anak kapal untuk terjun ke laut ketika tekanan mental dan keadaan perkhidmatan semakin membimbangkan.

Menurut laporan itu, kapal berkenaan kini memasuki bulan kesembilan berada di laut dan telah menghabiskan 250 hari berturut-turut tanpa mendarat, sekali gus mencatat tempoh pengoperasian paling lama bagi sebuah kapal pengangkut pesawat pada era moden.

Stars and Stripes melaporkan, kebimbangan mengenai keadaan anak kapal turut disuarakan anggota keluarga dalam satu pertemuan dengan kepimpinan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) di San Diego, Khamis lalu.

Pertemuan yang dihadiri kira-kira 200 anggota keluarga itu menyaksikan, seorang isteri mendedahkan suaminya menghantar mesej pada hari berkenaan dengan mengatakan bahawa dia “berharap tidak bangun esok”.

Kebimbangan keluarga itu disampaikan secara terus kepada kepimpinan Tentera Laut AS yang diwakili Pemangku Setiausaha Tentera Laut, Hung Cao, serta beberapa pegawai kanan lain.

Seorang wanita dalam pertemuan itu turut memberitahu Hung Cao bahawa pihak Tentera Laut telah “memusnahkan kepercayaan antara kami dengan kepimpinan”.

Sementara itu, Navy Times memperincikan beberapa cubaan bunuh diri yang berjaya digagalkan di atas USS Abraham Lincoln sepanjang penugasan tersebut.

Annabelle Loma memberitahu penerbitan itu bahawa suaminya pernah cuba terjun ke laut selepas tempoh penugasannya terus dilanjutkan.

“Dia takut. Dia fikir dia akan menerima pelepasan secara tidak terhormat dan hanya kerana dia mengalami keletihan melampau, kerjaya 13 tahunnya musnah begitu sahaja,” katanya.

Navy Times turut memetik isteri seorang lagi anggota kapal yang berkata suaminya terbabit dalam satu kejadian berasingan apabila berjaya menghalang seorang rakan daripada terjun ke laut dengan memegangnya dan membawanya kembali ke atas dek.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button