Mangsa banjir di PPS di Selangor meningkat
CYBERJAYA – Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor meningkat daripada 597 orang semalam, kepada 647 orang setakat pukul 8.30 pagi, hari ini.
Smart Selangor Operation Centre (SSOC) memaklumkan, angka tersebut melibatkan seramai 165 keluarga, berbanding 157 keluarga.
Daerah Petaling menunjukkan peningkatan mangsa banjir dipindahkan dengan para mangsa ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Camelia MBSJ, Putra Height.
“Seramai 71 mangsa daripada 15 keluarga telah dipindahkan ke PPS itu berbanding hanya 10 mangsa daripada dua keluarga pada malam tadi (Selasa),” kata SOCC.
Keseluruhannya, sebanyak lapan PPS dibuka di negeri ini berikutan banjir dan satu PPS Dewan Seroja, Kampung Bendahara, Gombak turut beroperasi menempatkan mangsa kebakaran.
Tujuh PPS yang dibuka berikutan banjir membabitkan empat daerah iaitu Sepang, Hulu Langat, Hulu Selangor dan Petaling.
Bagi daerah Sepang, sebanyak empat PPS dibuka iaitu di Dewan Kampung Dato’ Ahmad Razali, Dewan Komuniti Taman Gemilang, Dewan MPKK Lampung Jenderam Hilir dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil.
“Dua PPS dibuka di Hulu Langat iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bangi dan SK Semenyih manakala satu PPS lagi di Dewan. komuniti Taman Desa Hulu Yam di daerah Hulu Selangor,” kata SSOC.
SSOC memaklumkan, jumlah mangsa banjir akan dikemas kini setelah menerima laporan terkini yang diperoleh di setiap PPS.