Berita Semasa

Banjir Penampang: Ewon salur bantuan segera RM20,000 kepada mangsa banjir

PENAMPANG – Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick menyalurkan bantuan segera sebanyak RM20,000 bagi membantu mangsa yang terkesan dengan banjir di daerah ini, malam tadi.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, sumbangan itu diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) bagi membiayai operasi menyelamat mangsa banjir dan keperluan lain di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kebudayaan Penampang, di sini.

Beliau berkata, situasi banjir yang berlaku di daerah ini berikutan hujan lebat berterusan sejak 1.30 tengah hari semalam telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya juga telah memaklumkan penangguhan taklimat agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan penggantian saya untuk temu bual dengan BERNAMA malam esok,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Selain memantau situasi kawasan banjir, Ewon turut meluangkan masa melawat pusat kawalan bencana dan PPS bersama Pegawai Daerah Penampang Francis Chong merangkap Pengerusi JPBD Penampang.

“Beberapa jalan utama Penampang tidak dapat dilalui. Bekalan elektrik terputus di beberapa kampung dan kawasan perumahan. Tanah runtuh juga menyebabkan laluan utama tidak dapat dilalui.

Pertembungan air laut pasang dengan air sungai juga antara sebab limpahan air besar banjir ini.

“Pasukan keselamatan sedang menjalankan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir. Bagaimanapun, operasi ini juga terkesan akibat arus yang kuat.

“Bersama kita doakan semuanya selamat dan dipermudahkan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button