PM X

Konflik Palestin: Pertemuan dengan Erdogan, Putera Salman akan diadakan dalam tempoh segera – PM


PUTRAJAYA – Perdana Menteri , Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Malaysia sudah menghubungi pemimpin dunia Arab termasuk Turkiye dan Iran untuk mengadakan perbincangan berhubung  konflik yang sedang berlaku di Palestin ketika ini.

Menurut Anwar, pada mulanya beliau mencadangkan agar pertemuan tersebut turut dihadari oleh pemimpin dari negara seperti Brazil, Ireland, Russia dan China, namun belum ada sebarang keputusan untuk membawa negara bukan Islam.

“Saya (pada) mulanya mengusulkan jangan hanya dalam kalangan pemimpin negara Islam kerana Brazil, Ireland, Russia dan China itu mempunyai pendekatan lunak, pendirian untuk mempertahankan hak kemanusiaan.

“Tetapi apabila berbincang dengan pemimpin (ini), belum ada konsensus (untuk) membawa negara luar Islam.

“Jadi keputusan sekarang ini, yang bincang dengan Putera Mohammed bin Salman (Putera Mahkota Arab Saudi), Presiden Turkiye (Recep Tayyip Erdogan), ialah adakan (pertemuan dalam) tempoh segera, mungkin sehari dua ditetapkan beberapa tarikh mempertemukan pemimpin Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali dan Mohd Zuki.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perkembangan konflik di Palestin khususnya di Gaza semakin mendapat tempat dalam kalangan negara barat yang sebelum ini tidak membahaskannya secara terbuka.

“Perhimpunan dan unjuk rasa (tunjuk perasaan) ini besar sekali di Eropah,” katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte dan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida yang bertemunya baru-baru ini turut menyatakan sokongan agar serangan di Palestin dihentikan.

“Dia (Rutte) ada maklum dua per tiga (rakyat Belanda) simpati kepada Palestin dan saya juga sudah minta (kepada Rutte supaya) disampaikan pandangan Malaysia kepada pemimpin negara Eropah,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button