PM Anwar adakan pertemuan dengan Presiden Korea Selatan
Bincang pencapaian, kemajuan sejak kedua-dua negara menjalin hubungan diplomatik 64 tahun lalu
SEOUL – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dengan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol di Pejabat Presiden Yongsan, di sini.
Laporan BERNAMA menyebut, kedua-dua pemimpin yang diiringi beberapa menteri, mengadakan mesyuarat dua hala bermula pukul 11.10 pagi (10.10 pagi waktu Malaysia), dan dijangka berlangsung selama kira-kira sejam.
Antara perkara dibincangkan termasuk pencapaian serta kemajuan sejak kedua-dua negara menjalin hubungan diplomatik 64 tahun lalu serta masa depan hubungan tersebut.
Menurut Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Mohd Zamruni Khalid, kedua-dua pemimpin akan menilai perkembangan hubungan dua hala antara Malaysia dan Republik Korea yang telah berkembang secara meluas dari segi skop dan kandungan, sejak hubungan diplomatik dimulakan pada tahun 1960.
Perdana Menteri diiringi oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz; Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang serta pegawai kanan kerajaan.
“Mereka juga dijangka membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama serta bertukar pandangan mengenai Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dan Korea Selatan sebagai Pengerusi APEC, kedua-dua pada 2025,” kata Mohd Zamruni.
Anwar dan Suk Yeol turut dijadualkan menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama dalam Bidang Pendidikan Tinggi, Kerjasama dalam Bidang Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon, serta Kerjasama di bawah Pendekatan Bersepadu mengikut Artikel 6, Perenggan 2 Perjanjian Paris.