Abang bomba ‘pakar pujuk’ terima penghargaan, pesan ingat Allah dan setiap masalah ada penyelesaiannya
IPOH – “Ingatlah Allah dan yakinlah setiap masalah ada jalan penyelesaiannya.”
Itu antara kata-kata yang menjadi pegangan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya, Wan Muzhafar Wan Chik, 34, ketika memujuk dua individu yang berdepan tekanan emosi sehingga bertindak di luar kawalan dalam dua kejadian berasingan baru-baru ini.
Hasil tindakan pantas dan pendekatan penuh empati itu, Wan Muzhafar menerima Sijil Penghargaan Misi Intervensi Krisis pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di Ibu Pejabat JBPM Perak, Bandar Meru Raya, di sini hari ini.
Wan Muzhafar berkata, beliau percaya setiap ujian yang dihadapi mempunyai hikmah dan setiap masalah pasti mempunyai jalan penyelesaian, justeru individu yang berdepan tekanan perlu terus diberikan harapan.
“Bagi kejadian pertama membabitkan seorang penunggang motosikal Yamaha RXZ yang dikatakan hampir sembilan jam berada di tepi lebuh raya, kami terlebih dahulu membuat penilaian awal sebaik tiba di lokasi.
“Pada mulanya kami bertanya nama dan tempat tinggalnya, namun dia tidak memberi sebarang jawapan. Kemudian saya bertanya sama ada dia sudah berkahwin dan mempunyai anak, lalu dia mengangguk.
“Berdasarkan itu, saya merasakan dia mungkin berdepan masalah peribadi. Saya menasihatinya supaya meneruskan kehidupan kerana setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian dan mengingatkannya bahawa masih ada keluarga yang menunggu kepulangannya,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Menurut beliau, pendekatan sama digunakan ketika memujuk seorang lagi individu yang cuba terjun dari sebuah jejambat di Bercham.
“Saya mengingatkannya bahawa dalam kehidupan ini sentiasa ada jalan penyelesaian. Saya juga mengajak dia mengingati Allah dan percaya setiap ujian mempunyai hikmahnya.
“Alhamdulillah, akhirnya dia berjaya ditenangkan dan tidak meneruskan hasratnya,” katanya.
Wan Muzhafar berkata, walaupun tidak mempunyai pengalaman khusus dalam mengendalikan situasi sedemikian, beliau bertindak secara spontan dengan berbekalkan rasa empati dan tanggungjawab sebagai anggota penyelamat.
“Setiap situasi adalah berbeza dan memerlukan pendekatan yang sesuai, namun elemen paling penting ialah menunjukkan empati kepada mangsa.
“Saya sebenarnya tidak ada pengalaman yang banyak dalam situasi seperti ini. Apa yang saya lakukan berlaku secara spontan.
“Sebagai anggota bomba, tugas kami ialah menyelamat, jadi saya hanya cuba memberi semangat supaya mereka terus memilih untuk hidup dan tidak melakukan perkara yang tidak sepatutnya,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman menyertai pelbagai operasi menyelamat turut membantunya memahami keadaan emosi mangsa serta memilih kata-kata yang bersesuaian bagi menenangkan mereka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














