ABK dijenamakan semula sebagai Liga M Awards, pemenang diumum Ogos depan
KUALA LUMPUR – Malaysian Football League (MFL) mengumumkan Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) yang menjadi pengiktirafan tertinggi dalam arena bola sepak tempatan kini dijenamakan semula sebagai Liga M Awards, bermula bagi musim 2025-2026.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL Penggal 2025-2029 yang dipengerusikan oleh Presiden MFL, Ab Ghani Hassan.
MFL berkata, penjenamaan semula itu bertujuan memberi identiti yang lebih tepat terhadap skop penilaian anugerah yang memfokuskan kecemerlangan individu dan pasukan dalam saingan Liga Malaysia.
“ABK yang diperkenalkan sejak musim 2005-2006 sebelum ini dilihat merangkumi keseluruhan ekosistem bola sepak negara termasuk pasukan kebangsaan, pertandingan peringkat umur dan bola sepak wanita, manakala Liga M Awards memberi tumpuan khusus kepada prestasi dalam Liga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MFL turut berkata, Liga M Awards 2025-2026 dijadual berlangsung pada Ogos 2026, berbeza daripada amalan sebelum ini yang diadakan sejurus tamat saingan liga.
“Perubahan itu membolehkan Jawatankuasa Pemilih membuat penilaian berdasarkan keseluruhan musim, bermula daripada aksi pembukaan Liga Super sehingga Perlawanan Akhir Piala Malaysia,” katanya lagi.
Sebelum itu, proses penilaian hanya mengambil kira prestasi sehingga perlawanan Liga Super ke-24, sekali gus menyebabkan beberapa aksi penting pada penghujung musim tidak dimasukkan dalam penilaian.
Melalui format baharu, semua perlawanan rasmi Liga Malaysia termasuk baki perlawanan Liga Super, saingan piala domestik dan final Piala Malaysia akan dinilai bagi menentukan pemenang setiap kategori.
MFL percaya pendekatan itu akan memberikan gambaran lebih tepat terhadap prestasi pemain dan jurulatih sepanjang musim selain memastikan aksi penting seperti jaringan gol, bantuan gol dan penyelamatan dalam perlawanan berprofil tinggi turut diambil kira.
Pada musim lalu, bintang Johor Darul Ta’zim, Arif Aiman Mohd Hanapi muncul sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali keempat berturut-turut.
Bagi edisi pertama Liga M Awards, sebanyak 15 kategori akan dipertandingkan berbanding 17 kategori sebelum ini selepas dua anugerah berkaitan Piala MFL digugurkan susulan kejohanan itu tidak dianjurkan mulai musim 2025-2026.
Antara kategori utama yang dipertandingkan ialah Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik, Jurulatih Terbaik, Pemain Import Terbaik, Pemain Muda Terbaik dan Pemain Paling Bernilai (MVP).
Proses pemilihan calon akhir dikendalikan Jawatankuasa Saringan yang dipengerusikan oleh Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia, Datuk Ong Kim Swee, bersama wakil Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) serta penyiar rasmi Liga Malaysia.
Seramai 220 pemain daripada keseluruhan 408 pemain yang memenuhi syarat telah disenarai pendek sebelum 10 calon terbaik dipilih bagi setiap kategori utama.
Keputusan akhir akan ditentukan menerusi undian melibatkan 13 ketua jurulatih, 13 kapten pasukan Liga Malaysia serta 13 wakil media.
Sementara itu, kategori FAN XI dan Gol Terbaik akan ditentukan melalui undian penyokong menerusi laman web rasmi MFL yang akan dibuka dalam masa terdekat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














