BERITA SEMASA

PDRM rampas lebih 75,000 mesin lombong kripto haram sejak 2022

KUALA LUMPUR – Sebanyak 75,578 mesin perlombongan mata wang kripto haram dirampas menerusi 3,049 serbuan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia  (PDRM) di seluruh negara sejak 2022 hingga Mei lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, sepanjang tempoh itu, seramai 629 individu turut ditahan hasil operasi bersepadu yang dilaksanakan pihak berkuasa.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi PDRM akan terus memperkukuh strategi penguatkuasaan dengan memberi penekanan kepada usaha pencegahan awal, risikan serta penggunaan teknologi bagi mengesan lokasi yang disyaki menjalankan aktiviti perlombongan mata wang kripto secara haram.

“Kerjasama strategik bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB), Suruhanjaya Tenaga, pihak berkuasa tempatan serta agensi penguatkuasa lain akan terus dipertingkatkan, khususnya dari segi perkongsian maklumat, pelaksanaan operasi dan penyelarasan tindakan bagi memastikan penguatkuasaan lebih pantas serta berkesan,” katanya pada sesi pertanyaan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff mengenai usaha kerajaan membanteras kegiatan perlombongan mata wang kripto haram termasuk penggunaan teknologi untuk mengesan aktiviti berkenaan.

Mengulas punca kegiatan itu terus berulang, Shamsul Anuar berkata, permintaan tinggi terhadap mata wang kripto serta nilainya yang sentiasa berubah menjadikan aktiviti berkenaan mampu memberikan pulangan lumayan kepada sindiket.

“Bagaimanapun, faktor keuntungan tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan jenayah termasuk mencuri bekalan elektrik melalui penyambungan haram,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata sebarang cadangan untuk meminda atau memperketatkan peruntukan di bawah Akta Bekalan Elektrik berada di bawah bidang kuasa Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Katanya, KDN bersedia memberikan pandangan dan kerjasama dalam sebarang usaha menambah baik perundangan serta mekanisme penguatkuasaan bagi memastikan tindakan terhadap kegiatan perlombongan mata wang kripto haram dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button