AUTOMOTIF & TEKNOLOGIBISNES & EKONOMI

Tiada lagi EV murah, harga melonjak RM300,000 mulai Julai

KUALA LUMPUR – Pengguna tempatan yang bercadang memiliki kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) bakal berdepan kenaikan harga ketara apabila harga bilik pameran bagi model berkenaan dijangka mencecah sekurang-kurangnya RM300,000 mulai 1 Julai ini.

Ia susulan pelaksanaan syarat import baharu oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Pelaksanaan dasar baharu itu dijangka mengubah landskap industri EV negara dengan menamatkan penawaran model EV import mampu milik yang sebelum ini menjadi pilihan pengguna dalam segmen pasaran massa.

Menurut nota penyelidikan Kenanga Investment Bank Bhd, MITI menetapkan syarat baharu yang mewajibkan nilai minimum Kos, Insurans dan Tambang (CIF) sebanyak RM200,000 bagi setiap unit EV import yang dibawa masuk ke Malaysia.

Selain itu, model EV import yang ingin dipasarkan juga perlu memenuhi syarat output kuasa minimum sebanyak 180 kilowatt (kW).

Penganalisis Kenanga Investment Bank, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz berkata, pelaksanaan syarat tersebut dijangka meningkatkan harga jualan akhir kenderaan secara ketara selepas mengambil kira duti import, duti eksais, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 10 peratus serta margin pengedar.

Menurut beliau, kesan paling ketara daripada dasar itu ialah penghapusan segmen EV import mampu milik yang selama ini menyasarkan pengguna arus perdana.

“Dasar ini secara efektif menamatkan pasaran EV import mampu milik untuk segmen massa, termasuk model asas daripada jenama import seperti BYD, GWM dan MG,” katanya dalam nota penyelidikan.

Bagaimanapun, pengguna masih mempunyai peluang terhad untuk membeli model EV import pada harga sedia ada kerana stok kenderaan CBU yang telah berada di dalam negara atau sedang dalam transit sebelum tarikh pelaksanaan dasar baharu itu dikecualikan daripada syarat berkenaan.

Pengecualian tersebut akan terus berkuat kuasa sehingga semua stok sedia ada habis dijual.

Mengulas tujuan pelaksanaan dasar itu, Wan Mustaqim berkata, MITI menggunakan pendekatan sekatan import bagi menggalakkan pengeluar automotif global melabur dalam kemudahan pemasangan tempatan (CKD).

“Langkah ini bertujuan menggalakkan pembuat kereta global melabur dalam operasi pemasangan tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada model import murah untuk menguji pasaran,” katanya.

Menurut Kenanga Investment Bank, dasar itu secara tidak langsung memberi kelebihan kepada pengeluar tempatan dan syarikat yang lebih awal melaksanakan operasi pemasangan tempatan.

Antara pihak yang dijangka mendapat manfaat ialah Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menerusi pembangunan kilang mobiliti pintarnya, selain model Proton dan Zeekr yang dipasang di kemudahan DRB-HICOM di Tanjung Malim.

Selain itu, pengeluar seperti Xpeng, GWM, BAIC dan SAIC yang menggunakan kemudahan pemasangan EP Manufacturing Bhd (EPMB) di Melaka, serta pengeluar kontrak seperti Inokom Corporation Sdn Bhd di bawah Sime Darby Bhd turut berpotensi menerima manfaat daripada perubahan dasar tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Kenanga Investment Bank turut menjangkakan berlaku peralihan permintaan pengguna kepada kenderaan hibrid plug-in (PHEV) selepas insentif cukai penuh bagi EV CBU tamat pada 31 Disember 2025.

Pada masa sama, firma penyelidikan itu mengingatkan industri automotif mengenai cabaran tenaga kerja memandangkan barisan pemasangan EV standard memerlukan antara 30 hingga 40 peratus kurang tenaga buruh berbanding kenderaan berenjin pembakaran dalaman (ICE).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button