POLITIK

25 resolusi Rimbun 2.0 dibawa ke MKT UMNO

KUALA LUMPUR – Sebanyak 25 resolusi yang dipersetujui menerusi program Rundingan Meja Bulat Nasional (Rimbun 2.0) akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk diperhalusi sebagai cadangan dasar ekonomi negara.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, resolusi berkenaan turut akan dibentangkan kepada Biro Politik UMNO sebelum dikemukakan kepada kerajaan untuk pertimbangan lanjut.

Menurut beliau, antara perkara utama yang dibincangkan dalam program itu ialah cadangan mengembalikan semula pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi meningkatkan hasil negara.

“Antara yang kita bincangkan tadi ialah apabila negara memerlukan tambahan pendapatan, maka GST perlu dipertimbangkan semula.

“Kita juga dimaklumkan oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah bahawa sekiranya kutipan GST diteruskan sejak 2018 hingga hari ini, negara berpotensi memperoleh lebihan hampir RM100 bilion,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Rimbun 2.0 anjuran Pemuda UMNO di sini hari ini.

Menurut Akmal, program tersebut menghimpunkan pelbagai tokoh ekonomi, pemain industri dan bekas pegawai kanan kerajaan bagi membincangkan isu semasa ekonomi negara serta langkah memperkukuhkan kedaulatan ekonomi nasional.

Antara panel yang terlibat ialah bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim; bekas Pengarah Urusan MMC Corporation Berhad, Tan Sri Che Khalid Mohd Noh; bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Tambah beliau, Pemuda UMNO akan meneruskan siri penerangan kepada rakyat berhubung cadangan dasar ekonomi yang diketengahkan menerusi program berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button