BERITA SEMASAPMX

ASEAN, China perlu tumpu keamanan, kestabilan serantau

NANNING – Hubungan antara rantau ASEAN dan China mesti memberi tumpuan kepada keamanan serantau, kestabilan, kemakmuran, dan memupuk hubungan perdagangan dua hala dan pelbagai hala.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini penting bagi menghadapi pelbagai faktor ketidakstabilan, cabaran pasca wabak dan ketegangan geopolitik.

Anwar berkata demikian dalam ucapan perasmiannya pada Ekspo China-ASEAN ke-20 (CAEXPO) 2023 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS), di sini hari ini.

Perdana Menteri turut berkata, ASEAN akan kekal sebagai salah satu wilayah yang paling pesat berkembang pada 2023, dan adalah penting bagi ASEAN dan China untuk mempelbagaikan strategi perdagangan dan pelaburan mereka semasa dunia semakin maju.

“Walaupun menghadapi cabaran ekonomi global, ASEAN kekal sebagai destinasi menarik bagi pelaburan antarabangsa, mencatat pertumbuhan ekonomi 5.5 peratus pada 2022, dengan 4.6 peratus (pertumbuhan) diunjurkan untuk 2023.

“Trajektori ini meletakkan ASEAN jauh di atas purata global, sebagaimana yang diunjurkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 3.5 peratus untuk 2022, dan tiga peratus bagi 2023 dan 2024,” katanya lagi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menggesa ASEAN dan China mempergiatkan kerjasama dalam ekonomi digital bagi memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) untuk berkembang maju dalam era digital ini.

Beliau berkata, PKS menyumbang 85 peratus kepada peluang pekerjaan, 44.8 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan 18 peratus kepada eksport negara dalam negara-negara ASEAN.

“Oleh itu, peranan mereka dalam menyumbang kepada aktiviti nilai tambah, inovasi dan pertumbuhan inklusif tidak boleh diperkecilkan,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai CAEXPO, Anwar berkata, sepanjang 19 edisi CAEXPO yang lepas, syarikat Malaysia telah mencapai hasil yang membanggakan di pasaran China dan ASEAN.

Beliau optimis CAEXPO akan terus berfungsi sebagai pemangkin untuk perniagaan Malaysia, memupuk kerjasama perdagangan, dan merangsang pemulihan ekonomi, kerana menurutnya platform ini bukan sahaja bertindak sebagai satu cara untuk melebarkan rangkaian perniagaan, tetapi juga sebagai hab untuk kerjasama inovatif dan usaha niaga keusahawanan.

“Dalam melihat kepada masa depan, Malaysia yakin bahawa hubungan perdagangan dan ekonomi dengan China hanya akan bertambah kukuh melalui pelbagai inisiatif strategik,” kata Anwar lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button