RTG 2024 belanja RM13.2 juta, diakui tingkat prestasi atlet
KUALA LUMPUR – Walaupun tidak mencapai sasaran pingat emas pertama negara pada temasya Olimpik di Paris, program Road to Gold (RTG) dipuji keberkesanannya dalam meningkatkan prestasi atlet-atlet terlibat.
Pelaksanaan RTG juga dilihat berjaya meletakkan barisan atlet Olimpik negara pada landasan yang betul menjelang temasya seterusnya di Los Angeles pada 2028 (LA2028).
Selepas kempen Olimpik Paris berakhir, program RTG yang memberi sokongan sepanjang persiapan turut diperakui oleh atlet dan jurulatih.
Keberkesanannya menyaksikan ramai yang meminta agar program itu diteruskan sehingga LA2028.
“Rexy Mainaky selaku pengarah kejurulatihan badminton negara dan jurulatih berbasikal trek negara John Beasley, kedua-duanya mengakui program RTG sangat berharga untuk atlet mereka dan mahu ia diteruskan demi kebaikan sukan Malaysia.
“Bahkan sekiranya RTG dimulakan lebih awal, beliau yakin pasukan mampu memberikan prestasi yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan oleh Unit Komunikasi Korporat Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Pengiktirafan yang sama juga dikongsikan Beasley yang menyifatkan RTG sebagai program elit yang jika dihentikan akan membantutkan usaha yang telah dimulakan.
Semangat dan dedikasi terhadap program itu turut dizahirkan oleh ahli-ahli yang berusaha mendapatkan pelbagai tajaan komersial untuk manfaat atlet.
Antaranya adalah iklan Digital Out Of Home (DOOH) ‘Kenali Atlet’ yang dilaksanakan secara percuma dengan kerjasama pelbagai pemilik media dengan nilai tajaan sebanyak RM5,238,248.
Sementara itu, Cherry Malaysia menyediakan tajaan tiga SUV Tiggo7Pro kepada pemenang pingat gangsa Olimpik Paris Aaron Chia, Soh Wooi Yik dan Lee Zii Jia bernilai RM371,400 dan menawarkan diskaun 50 peratus kepada pemenang pingat emas Paralimpik Paris Cheah Liek Hou dan Bonnie Bunyau Gustin.
Tajaan lain termasuk AirAsia, Grab Malaysia dan Fishermen yang menghasilkan animasi ‘Kenali Atlet’ untuk paparan di skrin digital di seluruh negara.
Untuk rekod, program RTG telah berjaya mendapatkan dana sebanyak RM10 juta melalui Belanjawan 2025 baru-baru ini.
Unit Komunikasi Korporat KBS berkata, jawatankuasa RTG yang baharu akan diumumkan pada tahun depan dengan program sokongan RTG dan Fast Track untuk atlet akan diteruskan seperti biasa.
Sementara itu, jawatankuasa RTG yang bersidang untuk kali terakhir tahun ini pada Rabu lalu memaklumkan perbelanjaan program untuk tahun ini berjumlah RM13.2 juta dan akan diaudit.
Untuk rekod, jumlah perbelanjaan RTG untuk 2023 adalah RM4.083 juta seperti yang diaudit oleh Jabatan Audit Negara.
Mesyuarat jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.