Berita Semasa

Kementerian Kerja Raya komited perkukuh hubungan dengan media

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) menegaskan komitmen untuk menjalin hubungan lebih erat bersama pengamal media bagi memastikan maklumat sahih mengenai inisiatif kerajaan dapat disampaikan dengan berkesan kepada rakyat

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peranan media sangat penting dalam membantu rakyat memahami cabaran yang dihadapi kerajaan khususnya dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan.

“Tanpa media, rakyat sukar memahami isu dan cabaran yang dihadapi kerajaan untuk menjayakan sesuatu projek,” katanya dalam ucapan semasa Majlis Borak Santai Menteri dan Timbalan Menteri Kerja Raya bersama pengarang serta pengamal media di ibu negara pada Selasa.

Alexander turut menjelaskan cabaran dalam pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo, khususnya di Sabah yang lebih perlahan berbanding Sarawak akibat beberapa isu teknikal dan perbezaan peraturan.

“Saya ambil contoh Pan Borneo Highway, mengapa di satu tempat pelaksanaannya lancar tetapi di tempat lain sukar? Antaranya kerana perebutan tender, ketidaksamaan dalam perolehan utiliti dan perbezaan undang-undang di Sabah dan Sarawak. Jadi, kita perlu beri penjelasan kepada rakyat,” katanya lagi.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Ahmad Maslan; Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Azman Ibrahim serta 25 pegawai kementerian dan agensi berkaitan.

Alexander memuji etika kewartawanan yang tinggi dalam kalangan pengamal media di Malaysia dan menghargai usaha mereka menyampaikan berita dengan cepat dan tepat.

“Saya juga sering menekankan kepada pasukan KKR dan agensi di bawahnya supaya memberi kerjasama kepada media. Semua inisiatif baik untuk rakyat perlu diperluas melalui penyampaian maklumat yang betul,” katanya lagi.

Beliau menyeru semua pihak, termasuk media untuk bersama-sama memainkan peranan demi kebaikan rakyat Malaysia.

“Kita semua mempunyai tanggungjawab besar kepada rakyat, jadi marilah kita bekerjasama untuk memastikan matlamat ini tercapai,” tambahnya.

Majlis tersebut dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada media atas peranan mereka dalam memperkukuh komunikasi antara kerajaan dan rakyat.

Show More

Related Articles

Back to top button