Nenek AI lawan scammers
LONDON – Syarikat telekomunikasi, O2 baru-baru ini melancarkan teknologi kepintaran buatan (AI) yang direka khusus bagi melawan penipuan menerusi talian telefon.
Dinamakan ‘Daisy’, AI tersebut dicipta sebagai seorang wanita tua yang akan membazir masa golongan scammer dengan menjawab soalan secara perlahan serta tidak mengikut arahan yang diberikan.
“Chatbot ini merupakan sebahagian daripada kempen syarikat untuk mengelakkan penipuan dilakukan scammers.
“Ia dibangunkan dengan bantuan Jim Browning, seorang Youtuber yang terkenal dengan kandungan beliau yang suka membazirkan masa penipu, mendedahkan identiti mereka dan merosakkan sistem komputer yang digunakan,” kata O2 dalam satu kenyataan.
Daisy menggabungkan pelbagai model AI yang bekerja secara bersama untuk mendengar dan memberi respons kepada panggilan penipuan secara serta-merta.
“Teknologi ini begitu realistik sehingga berjaya membuat ramai penipu terus berada di talian selama 40 minit pada satu-satu masa,” kata O2 lagi.
Syarikat berkenaan tidak memberitahu sejak bila Daisy mula beroperasi, namun kenyataan tersebut berkata, “ia sudah beroperasi membazirkan masa golongan scammer beberapa minggu sebelum Minggu Kesedaran Penipuan dilancarkan pada 17 November lepas.”
Menurut O2, nombor telefon Daisy dengan sengaja dimasukkan ke dalam pangkalan data yang digunakan penipu untuk mencari mangsa.
Sepanjang pengoperasiannya, Daisy berjaya mengelirukan scammers dengan berkongsi kisah panjang tentang keluarganya, bercakap panjang lebar mengenai minatnya terhadap mengait, dan memberikan maklumat peribadi palsu, termasuk butiran bank yang direka-reka.
“Dengan memperdayakan penjenayah supaya menyangka mereka menipu seseorang yang sebenar dan memainkan tanggapan stereotaip penipu terhadap orang tua, Daisy telah berjaya menghalang mereka daripada menyasarkan mangsa sebenar.
“Dalam masa yang sama, Daisy turut berjaya mendedahkan taktik yang digunakan oleh penipu supaya orang ramai dapat melindungi diri mereka dengan lebih baik,” kata O2 lagi.