Leave a Nest Malaysia terajui usaha pupuk minat sains, teknologi di Asia Tenggara
CYBERJAYA – Anak syarikat Leave a Nest Group, iaitu Leave a Nest Malaysia Sdn. Bhd. secara rasminya diumumkan sebagai ibu pejabat utama (HQ) bagi rantau Asia Tenggara.
Menurut Pengarah Urusan Leave a Nest Malaysia, Abdul Hakim Sahidi, pencapaian itu menandakan komitmen syarikat terbabit bagi memupuk kemajuan sains dan teknologi di rantau ini.
“Usaha awal syarikat tertumpu kepada aktiviti berkaitan pendidikan, termasuk bengkel sains dan persidangan sains yang bertujuan untuk memupuk rasa ingin tahu dan minat terhadap sains di kalangan pelajar sekolah,” katanya dalam satu sidang media di sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang juga Pengasas Leave a Nest Group, Dr. Yukihiro Maru serta ahli-ahli Leave Nest Malaysia.
Dalam pada itu, Dr. Yukihiro berkata, Leave a Nest Group turut menyatakan hasrat untuk melabur sebanyak AS$10 juta atau lebih RM40 juta bagi syarikat-syarikat pemula di rantau Asia Tenggara untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Kami menyasarkan sekurang-kurangnya lebih 30 syarikat pemula dari Malaysia yang terlibat dalam sektor pertanian, robotik serta teknologi angkasa bagi pelaburan itu,” kata Dr. Yukihiro.
Berkongsi pandangan mengenai Malaysia, Yukihiro berkata, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini mempunyai potensi yang besar memandangkan ia menawarkan pelbagai bidang sains dan teknologi.
Sementara itu, Abdul Hakim berkata, Leave a Nest Malaysia turut menyasarkan keuntungan sebanyak RM4 juta pada tahun depan.
Ujarnya, setakat Oktober tahun ini, keuntungan Leave a Nest Malaysia telah mencecah RM2.4 juta, sekali gus berjaya mencapai sasaran yang telah ditetapkan.
“Pihak kami optimis dengan pelbagai inisiatif dan kerjasama yang dilakukan oleh Leave a Nest Malaysia sasaran tersebut mampu dicapai untuk tahun 2025,” katanya.
Tambah Abdul Hakim, sepanjang 11 tahun penubuhannya, Leave a Nest Malaysia telah berjaya memeterai MoU dengan lima agensi kerajaan di Malaysia, Vietnam dan Indonesia.
“Melalui MoU ini, Leave a Nest mencipta ‘jambatan’ yang sekali gus membantu syarikat pemula Malaysia berkembang ke pasaran Jepun.
“Selain itu, Leave a Nest Malaysia telah menjalin kerjasama dengan 11 universiti di Malaysia dan Indonesia,
“Kerjasama itu memfokuskan terhadap kerjasama antara penyelidik dan industri, menyokong usaha pengkomersilan dan memupuk bakat pelajar,” katanya.
Bercerita mengenai pencapaian Leave Nest Malaysia, Abdul Hakim berkata, antara kejayaan syarikat terbabit termasuklah penubuhan Centre of Garage Malaysia (COGMY) pada Oktober tahun lalu, iaitiu hab inkubasi pertama di luar Jepun.
Jelasnya, COGMY bertindak sebagai platform unik untuk menyokong syarikat pemula dalam mendapatkan sokongan holistik daripada pihak berkepentingan ekosistem, termasuk memupuk kerjasama rentas sempadan antara Asia Tenggara dan Jepun.
“Ia juga berfungsi sebagai hab pembangunan bakat dengan visi mengubah bakat ke arah menjadi pemimpin global,” katanya lagi.
Untuk rekod, Leave a Nest Group telah ditubuhkan di Jepun pada tahun 2002 dan mempunyai anak syarikat di Singapura, Malaysia, Filipina, UK serta Amerika Syarikat (AS).