Berita Semasa

KUSKOP lancar inisiatif baharu kepada usahawan India

Libatkan dana pembiayaan berjumlah RM136 juta

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sudah melancarkan beberapa inisiatif baharu kepada usahawan India dengan jumlah keseluruhan dana pembiayaan berjumlah RM136 juta.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri R. Ramanan berkata, antara inisiatif dilancarkan adalah Program PENN (Prosperity, Empowerment and A New Normal for Indian Women) di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia berjumlah RM50 juta.

“KUSKOP turut memperkenalkan Program Pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) berjumlah RM50 juta.

“Selain itu, Program Business Accelerator untuk syarikat milikan India bersaiz kecil (I-BAP) berjumlah RM6 juta dan Program SPUMI (Skim Pembangunan Usahawan India) Goes Big berjumlah RM30 juta,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Ramanan berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Muslimin Yahya (PN-Sungai Besar) berkenaan inisiatif pembaharuan KUSKOP secara komprehensif khususnya dalam memacu pertumbuhan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Ramanan seterusnya berkata, KUSKOP akan terus menggalakkan penglibatan PMKS dalam aktiviti bernilai dan mempunyai pertumbuhan tinggi yang mampu memberikan sumbangan lebih besar kepada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar negara.

“Ia bagi menyokong pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) bagi meningkatkan daya saing dan penyertaan PMKS dalam rantaian nilai industri pembuatan berpertumbuhan tinggi di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.

Menurutnya PMKS telah mencatat pertumbuhan lima peratus untuk menyumbang sebanyak RM613.1 bilion pada 2023 berbanding RM584.1 bilion pada 2022.

Show More

Related Articles

Back to top button