Berita Semasa

Khutbah Jumaat bukan medium pecah belah masyarakat

KUALA LUMPUR – Khutbah Jumaat tidak sepatutnya dijadikan medium untuk memecah belah, tetapi seharusnya digunakan untuk menasihatkan jemaah yang hadir untuk merapatkan ummah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, khatib tidak sepatutnya menjadikan mimbar sebagai suatu tempat memfitnah.

“Apa tujuan khutbah itu? Sepatutnya digunakan dalam tempoh khutbah itu untuk menasihatkan jemaah yang hadir dan bersatu padu.

“Apa tujuan penyampaian khutbah? Ini kerana khutbah Jumaat ini hanya diberi seminggu sekali dan sepatutnya dalam tempoh khutbah itu dimanfaatkan untuk menasihatkan jemaah yang hadir untuk bersatu padu.

“Perkara itu sepatutnya keutamaan untuk menyatupadukan umat Islam contohnya di Kedah, Selangor. Itu peranannya dan bukannya menjadi pemecah belah apatah lagi menggunakan mimbar khutbah untuk memfitnah perkara tak betul,” katanya, hari ini.

Mohd Na’im berkata demikian ketika diminta mengulas perbuatan seorang khatib di sebuah masjid di Parlimen Padang Serai, Kedah, yang mengulas isu pemberian warga negara kepada lebih satu juta rakyat China, Jumaat lalu.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini dilaporkan kesal dengan tindakan seorang khatib mengulas mengenai isu demikian.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya sudah menerima aduan awal mengenai kejadian yang dilihat mampu mencemarkan institusi masjid.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Mohd Na’im kemudiannya berkata, sekiranya khatib yang menyampaikan khutbah di Parlimen Padang Serai itu tidak mempunyai tauliah, Jabatan Agama Islam Negeri boleh mengambil tindakan.

Sementara itu, beliau terlebih dahulu hadir menyampaikan sumbangan dan sijil penyertaan pada Majlis Penutup Program Santuni Komuniti MADANI Peringkat Kampung Angkat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Dewan Orang Ramai Kampung Paya, Kampung Bharu, di sini hari ini.

Program tersebut dianjurkan secara bersama oleh Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Al Hijrah Media Corporation (TV Al Hijrah), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR).

Show More

Related Articles

Back to top button