Palestin hargai tindakan Malaysia ambil risiko menentang rejim Zionis
ISTANBUL – Kerajaan Palestin menyampaikan penghargaan khusus kepada rakyat Malaysia yang tanpa putus asa memberi sokongan dan solidariti terhadap rakyat Palestin.
Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, penghargaan itu disampaikan oleh Menteri Ekonomi Palestin, Mohammad Al Amour pada hari terakhir sesi ke-40 Jawatankuasa Tetap Kerjasama Ekonomi dan Komersial (COMCEC) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul.
“Kerajaan Palestin amat menghargai tindakan Malaysia yang mengambil risiko besar untuk lantang bersuara menentang rejim Zionis secara terang-terangan di pentas dunia.
“Saya memaklumkan kepada beliau bahawa Malaysia tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Palestin bagi memulihkan semula sektor telekomunikasi di Gaza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, katanya, beliau turut mengambil kesempatan mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah Statistical, Economic, and Social Research and Training Centre for Islamic Countries (SESRIC), Zehra Zumrut Selcuk
Katanya, beberapa peluang kerjasama boleh diteroka, terutamanya melibatkan latihan global antara SESRIC dengan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dan Akademi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).