Berita Semasa

Dr. Suzana Idayu Wati dilantik Pengarah Besar baharu FELDA

KUALA LUMPUR – FELDA hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Dr. Suzana Idayu Wati Osman sebagai Pengarah Besar yang baharu menggantikan Datuk Amiruddin Abdul Satar yang tamat perkhidmatannya pada 14 Oktober lalu.

Pelantikan itu menjadikan beliau wanita pertama yang menduduki jawatan tersebut.

FELDA berkata, pelantikan Dr. Suzana adalah satu langkah selari dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam sektor ekonomi.

“Suzana memulakan kerjaya di FELDA pada 1998 sebagai Pegawai Tadbir dan pernah memegang jawatan Ketua Jabatan Pelaburan pada 2008.

“Beliau juga mempunyai pengalaman luas di FGV Holdings Berhad sebagai Timbalan Ketua Eksekutif Kumpulan dan kemudian dilantik sebagai Ketua Pegawai Pelaburan di PERKESO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengalaman lebih tiga dekad dalam sektor perbankan, kewangan, pelaburan, dan pengurusan aset institusi yang dimiliki beliau diharap akan memperkukuhkan kepemimpinannya dalam organisasi.

Suzana juga Ahli Lembaga Pengarah di beberapa syarikat Kumpulan FELDA, seperti FGV Holdings, MSM Holdings, Encorp Berhad turut memegang peranan sebagai Pengerusi IIUM Holdings Berhad.

Beliau memiliki kelulusan Doktor Falsafah dan Sarjana dalam Kewangan dari Universiti Putra Malaysia dan Advanced Management Program dari Harvard Business School, Amerika Syarikat.

Dengan kombinasi pengalaman profesional dan kelayakan akademik antarabangsa, FELDA yakin Dr. Suzana akan membawa strategi baharu untuk memperkukuh kedudukan FELDA dalam sektor ekonomi negara.

“Pelantikan itu akan memberikan impak positif dan mampan kepada 112,638 keluarga peneroka di seluruh negara,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button