Berita Semasa

Pemuda UMNO cadang tubuh RCI siasat kes FashionValet, NAFAS

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO mencadangkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan ketirisan yang dihadapi Fashion Valet Sdn Bhd (FashionValet) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Cadangan itu dikemukakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang mahu siasatan telus dilakukan dan sebarang penemuannya dibentangkan kepada awam supaya ia menjadi pengajaran pada masa akan datang.

“Untung rugi syarikat adalah perkara biasa tetapi jika dana itu datangnya daripada dana awam, maka satu siasatan yang telus perlu dilakukan dan dibentangkan kepada awam juga, supaya ia dapat menjadi pengajaran pada masa akan datang.

“Maka kami cadangkan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja dapat ditubuhkan untuk menyiasat dua perkara yang menjadi polemik negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau hari ini

Dalam hantaran yang sama, Akmal turut menghargai pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa siasatan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kes ini.

“Sama ada FashionValet ataupun NAFAS, jika ada salah laku yang wujud maka jangan biarkan waima seorang pun terlepas dari kartel-kartel yang menelan duit rakyat ini,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya sudah memulakan siasatan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet.

Selain itu, SPRM juga mendedahkan wujudnya kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan yang dianggar bernilai RM1.8 bilion.

Show More

Related Articles

Back to top button