Berita Semasa

KDN muliakan 29.3 tan abu al-Quran, tahun ini

KUALA SELANGOR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memuliakan (melupuskan) sebanyak 29.3 tan abu al-Quran, tahun ini.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Penguatkuasaan Dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, abu al-Quran yang dimuliakan (dilupuskan) terdiri daripada mushaf dan helaian yang rosak, koyak, yang tidak lagi boleh dibaca dan yang bukan Rasm Uthmani yang tidak diperakui kementerian.

“Pengumpulan teks al-Quran dan bahan al-Quran untuk pelupusan dari semasa ke semasa adalah sebahagian daripada usaha ‘Ke Arah Sifar Al-Qur’an Tiada Perakuan KDN’.

“Kaedah yang dilaksanakan ini adalah mengikut Garis Panduan Pelupusan Teks Al-Quran yang telah dikeluarkan oleh KDN melalui Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ),” katanya.

Nik Yusaimi berkata demikian dalam sidang akhbar ketika Program Pemuliaan Abu al-Quran di perairan Pulau Angsa, dekat sini hari ini.

Program hari ini menyaksikan pelepasan abu seberat 15 tan ke laut, hasil daripada teks dan bahan al-Quran yang telah melalui proses pemuliaan dengan kaedah pembakaran.

Ini merupakan kali kelima program pelepasan abu dilaksanakan pada tahun ini, dengan terdahulu dibuat di di Pahang (10 tan), Terengganu (2 tan), Sarawak (1.3 tan)dan Kelantan (1 tan).

Antara agensi yang turut sama terlibat termasuk Polis Marin Pelabuhan Klang, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor,Jabatan Mufti Negeri Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Nik Yusaimi seterusnya menyeru orang ramai supaya tidak membeli, menjual, mengedar al-Quran yang tiada perakuan KDN.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mengambil jalan mudah dengan menjual al-Quran dan bahan yang mengandungi ayat al-Quran sebagai kertas untuk dikitar semula kepada kegunaan lain yang sudah tentu tidak menepati syari’ah pemuliaan,” katanya lagi.

Beliau kemudiannya turut menyarankan orang ramai yang mempunyai mushaf atau helaian yang mahu dilupuskan supaya menyerahkannya kepada mana-mana pejabat Bahagian PK KDN di seluruh negara untuk dimuliakan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

Show More

Related Articles

Back to top button