Berita SemasaPM X

RUU tangani buli siber dengan lebih tegas akan dibentangkan

BUKIT MERTAJAM – Satu Rang Undang-Undang (RUU) bagi menangani kes buli siber dengan lebih tegas akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu buli tidak boleh lagi dipandang ringan kerana ia memberi impak psikologi seperti penderaan mental hingga berupaya mengancam nyawa dan keselamatan seseorang.

Walaupun negara mengamalkan prinsip kebebasan, beliau menegaskan tidak semestinya seseorang itu bebas untuk melakukan jenayah terutama buli.

“Kebebasan bukan untuk kamu dera orang. Kebebasan bukan untuk kamu menghina orang, mengaibkan orang.

“Negara ini bercakap soal kebebasan dan keadilan tetapi tidak akan membenarkan sebarang penindasan, penghinaan dan penyalahgunaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada program Temu Anwar Generasi Ada Idea (Gen-AI) di tapak Parkir Gravitas Jalan Baru Prai, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan mengambil inisiatif memperkenalkan undang-undang lebih tegas susulan kes buli siber yang dilihat semakin membimbangkan.

“Kita (kerajaan) akan perkenalkan undang-undang buli siber yang lebih tegas yang kita akan (bentang dalam) sidang Parlimen (nanti).

“Badan-badan seperti MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), PDRM (Polis Diraja Malaysia) diminta untuk ambil tindakan maksimum yang mungkin, jangan tolak ansur,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button