Tranformasi Felcra 3.0 harus dirancang dan dilaksana – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR – Transformasi 3.0 Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) harus dirancang dan dilaksanakan dalam tempoh empat tahun akan datang.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, transformasi tersebut penting bagi memastikan potensi yang ada pada Felcra digunakan bagi membantu rakyat dan kerajaan.
Katanya, transformasi tersebut juga akan memperlihatkan Felcra bukan hanya sebagai sebuah badan korporat malah sebagai satu konglomerat.
“Kita harus melakukan segmentasi pasaran kerana kita lihat lebih 200 hektar tanah yang dikendalikan oleh Felcra terdapat potensi yang besar untuk Felcra.
“Pada hemat kerajaan, pengimportan bahan bahan makanan yang jumlahnya terlalu besar harus diganti dengan pengeluaran makanan dari Felcra atau ladang ladang komersial atau lain lain agensi.
“Oleh itu saya menyarankan supaya transformasi 3.0 mesti dirancang dan dilakukan bagi melihat Felcra sebagai bukan hanya sebagai badan korporat yang memenuhi tanggungjawab sosial malah ianya harus menjadi badan konglomerat yang membantu kerajaan dan rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Taklimat bersama Felcra di Wisma Felcra di sini, hari ini.
Ditanya mengenai perkembangan pelantikan bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, sebagai Pengerusi Felcra, Ahmad Zahid berkata, perkara tersbut akan diseleraskan dengan lantikan badan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang lain.
Tambah Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Felcra harus berdiri sendiri tanpa mengharapkan bantuan dan dana daripada kerajaan di samping mengambil iktibar daripada syarikat GLC yang menghadapi pelbagai masalah.
“Felcra harus berdiri sendiri. Felcra menggunakan dana dalam untuk melaksanakan semua programnya tanpa meletakkan kebergantungan dana terhadap kerajaan.
“Kita harus belajar dari pengalaman sebuah GLC yang disenaraikam dan akhirnya menghadapi masalah. Belajar daripada kesilapan yang dibuat mereka agar ketirisan tidak berlaku.
“Biar kita disimbah dengan pelbagai keaiban tentang perkara negatif. Itu adalah perancangan jijik daripada seseorang atau sekumpulan orang yang mahu meruntuhkan institusi.
“Tapi jelas, perancangan itu tidak berjaya kerana saya pasti sekiranya kita jaga agama Allah mesti Allah akan jaga kita,” ujarnya lagi.