Berita Semasa

Karnival Gen-AI pupuk semangat kemasyarakatan belia

PERMATANG PAUH – Buat julung kalinya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menganjurkan Karnival Generasi Ada Idea (GEN-AI), di sini hari ini.

Karnival ini dianjurkan dengan tujuan mendekati dan memupuk semangat kemasyarakatan dalam kalangan belia menerusi pelbagai aktiviti interaksi.

Selain itu, penganjuran karnival ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kepekaan belia mengenai isu-isu semasa, di samping menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti berorientasikan kesejahteraan dan keceriaan.

Dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, karnival ini berjaya menarik perhatian hampir 10,000 pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Antara yang menjadi tumpuan ialah Sesi Temu Anwar yang menyaksikan Perdana Menteri berinteraksi dengan belia, dan menjawab pelbagai soalan merangkumi isu-isu semasa termasuk keselamatan dalam talian, buli siber dan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Turut diadakan, sesi perkongsian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), karnival kerjaya, sembang santai bersama artis dan pempengaruh serta konsert.

Show More

Related Articles

Back to top button