Luar NegaraSukan

Manchester United : Ruben Amorim dijangka pengurus baharu

MANCHESTER – Manchester United mengambil langkah drastik dengan memecat pengurus mereka Erik ten Hag, selepas prestasi mengecewakan pada permulaan musim Liga Perdana Inggeris (EPL).

Desas desus dikatakan jurulatih dari Portugal, Ruben Amorim, berkemungkinan akan dilantik sebagai pengurus baharu.

Pemecatan Ten Hag berlaku selepas United tewas kepada West Ham mengakibatkan kelab tersebut kini berada di tangga ke-14 carta EPL dan merupakan kekalahan keempat mereka dalam sembilan perlawanan liga, meskipun kelab tersebut telah melabur besar dalam pasaran perpindahan sebelum musim ini.

Bekas penyerang United, Ruud van Nistelrooy, yang turut berada dalam barisan kejurulatihan Ten Hag, dilantik sebagai pengendali sementara.

Menurut laporan media British, United kini sedang berusaha untuk mendapatkan Amorim, pengurus Sporting Lisbon yang berusia 39 tahun dan dilihat sebagai salah seorang jurulatih muda terbaik di Eropah.

Sky Sports melaporkan United sedia membayar klausa pelepasan Amorim bagi membawanya ke Old Trafford.

Amorim sebelum itu pernah dikaitkan dengan jawatan pengurus di Liverpool bagi menggantikan Jurgen Klopp, namun jawatan tersebut akhirnya diambil alih oleh jurulatih Belanda, Arne Slot.

Beliau juga pernah berunding dengan West Ham untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan David Moyes, namun menarik diri kerana masanya tidak sesuai.

Amorim mencipta nama apabila beliau berjaya membawa Sporting Lisbon menjuarai liga pada 2021, mengakhiri kemarau kejuaraan kelab tersebut selama 19 tahun.

Musim lalu, Amorim sekali lagi berjaya meraih kejuaraan bersama Sporting Lisbon.

 

Show More

Related Articles

Back to top button