Berita SemasaSukan

Khabib Nurmagomedov LIVE in Malaysia capai matlamat, tarik lebih 2,000 pengunjung

KUALA LUMPUR – Program bual bicara eksklusif ‘Khabib Nurmagomedov LIVE in Malaysia 2024’ anjuran Faith Events telah menarik perhatian hampir 2,000 pengunjung pada 29 September lalu.

Diadakan di World Trade Centre Kuala Lumpur,
perkongsian serta pandangan yang dilontarkan bekas juara dunia lightweight Ultimate Fighting Championship (UFC), Khabib Nurmagomedov, dilihat berjaya memenuhi jangkaan peminatnya di Malaysia.

Pengasas Faith Event, Khairul Amar Razali berkata, acara itu menggariskan nilai-nilai Islam seperti disiplin, integriti, dan kerendahan hati yang telah membentuk perjalanan kejaya Khabib.

“Faith Events komited untuk menganjurkan acara unik dan berkualiti tinggi yang menginspirasi dan melibatkan penonton di seluruh Malaysia dan lebih jauh,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengacara Khabib Nurmagomedov Live in Malaysia’ Alif Satar (kanan) bersama bintang muda muay thai negara, Johan Ghazali atau Jojo sebagai tetamu khas. – Foto Ihsan Faith Events

Acara yang dihoskan oleh selebriti terkenal, Alif Satar itu turut menampilkan bintang muay thai negara, Johan Ghazali yang membuat kemunculan istimewa, sekali gus menambah keterujaan para peminat.

Di samping itu, acara ini diserikan dengan persembahan khas yang mempamerkan tradisi seni bela diri Malaysia serta sukan tempur global.

Pengunjung disajikan dengan pertunjukan yang mendebarkan daripada Silat, MMA, dan Muay Thai, dengan persembahan oleh Discover Muay Thai, Team Strive MMA Putrajaya, Kelab Muay Thai Singa Malaya, dan Gerak Penchak Gayarasa.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Khabib Nurmagomedov, Alif Satar, Johan Ghazali, para atlet persembahan bela diri, rakan penaja, dan semua pengunjung yang telah menyumbang kepada kejayaan acara penuh inspirasi ini,” kata Khairul Amar.

Legenda dunia seni bela diri campuran (MMA), Khabib Nurmagomedov menghadiri acara ‘Khabib Nurmagomedov Live in Malaysia’ di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. – Foto Ihsan Faith Events

Turut dalam jadual kunjungan Khabib ke Malaysia, adalah kunjungan hormat ke Seri Perdana bagi pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, Khabib turut menghadiri Klinik Tertutup Program Kejurulatihan Bersama Khabib Nurmagomedov anjuran Perbadanan Stadium Nasional dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Khabib merupakan antara atlet sukan paling berpengaruh di dunia dan memiliki 37 juta pengikut di Instagram.

Dia memulakan latihan seni mempertahankan diri sejak kecil di bawah bimbingan arwah bapanya, Abdulmanap Nurmagomedov.

Beliau membuat penampilan sulung UFC pada 2011 dan bersara sebagai juarakelas lightweight yang tidak pernah kalah pada 2021 dengan rekod menakjubkan 29-0.

Khabib juga dianggap salah seorang petarung yang paling dominan dalam sejarah sukan UFC dan pada Julai 2022, beliau telah dilantik ke dalam UFC Hall of Fame.

Show More

Related Articles

Back to top button