RUU Mufti : Umat Islam perlu lihat manfaat lebih besar
KUALA LUMPUR – Umat Islam di negara ini digesa mengutamakan kemaslahatan dan kepentingan yang lebih besar dalam membincangkan isu berkait Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah Persekutuan) yang akan dibentang di Dewan Rakyat tidak lama lagi.
Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Datuk Ahmad Azam Abdul Rahman berkata, tindakan sesetengah pihak yang sengaja mencetuskan provokasi, mengadu domba dan membuat dakwaan tidak berasas hanya akan memburukkan lagi penyatuan umat Islam di negara ini.
Beliau juga menyeru umat Islam memberi kepercayaan penuh kepada ahli-ahli perundangan dan penggubal dasar yang berkelayakan untuk membahaskan isu itu dengan teliti dan mendalam.
“RUU ini digubal untuk memperkasakan institusi mufti serta bidang kefatwaan bagi memastikan umat Islam memperoleh panduan hukum syarak yang berwibawa di tengah arus perubahan zaman yang semakin mencabar.
“Tindakan seumpama (mencetuskan provokasi) itu hanya akan mengaburkan roh dan tujuan sebenar penggubalan RUU tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu Ahmad Azam menyarankan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Mohd Na’im Mokhtar agar tidak melayan gesaan pihak-pihak tertentu untuk mengadakan debat terbuka berkaitan isu itu.
Katanya, walaupun kecewa dengan apa yang berlaku, Wadah menyeru agar umat Islam menghayati adab berbeza pendapat yang sudah lama menjadi sebahagian daripada tradisi keilmuan dalam sejarah tamadun Islam.
“Setiap perbincangan mengenai hal ehwal agama mestilah dijalankan dengan penuh hormat dan menjaga martabat institusi agama Islam,” katanya.