
Azura Abidin dilantik sebagai KP JBSN yang baharu
PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengumumkan pelantikan Azura Abidin sebagai Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) yang baharu, berkuat kuasa pada 14 Oktober 2024.
KBS dalam kenyataannya berkata, Azura, 56, yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan dari Universiti Malaya (UM) dan Sarjana Sains Sukan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) merupakan individu kelapan yang menyandang jawatan itu.
“Beliau turut ditauliahkan dengan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia: Pengurusan Kerja Belia (Tahap 5), yang melengkapkan pengalaman beliau dalam bidang sukan dan belia,” menurut kenyataan itu hari ini.
Memulakan kerjaya di KBS sejak tahun 2001, Azura berkhidmat dalam pelbagai organisasi sepanjang tempoh 23 tahun perkhidmatannya.
Antara jawatan yang disandang termasuk Penolong Pengarah di Bahagian Pembangunan Sukan, Bahagian Rakan Muda, Pesuruhjaya Sukan, Bahagian Industri Sukan serta Pengarah Pusat Belia Antarabangsa.
Sebelum pelantikan sebagai Ketua Pengarah JBSN, beliau menjawat jawatan sebagai Pengarah di Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS).
KBS yakin pelantikan itu akan membawa kepimpinan yang cemerlang dalam menerajui agenda pembangunan belia dan sukan di peringkat akar umbi, sekaligus memacu transformasi sektor ini ke tahap yang lebih tinggi.
“Beliau juga diharapkan dapat meningkatkan integriti di kalangan warga JBSN seiring dengan hasrat YAB Perdana Menteri untuk masa depan generasi pewaris negara.
“KBS dan JBSN akan terus komited dalam mencapai kecemerlangan, memperkasakan suara anak muda, serta memimpin pembangunan belia dan sukan demi kemajuan Malaysia Madani,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |