20,000 dianggar layak jalani tahanan dalam rumah
KUALA LUMPUR – Dianggarkan 20,000 pesalah kategori tertentu dan tidak serius layak menjalani hukuman tahanan di rumah melalui Rang Undang-Undang (RUU) baharu yang akan digubal tidak lama lagi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, RUU itu meliputi pesalah pertama yang tidak melakukan kesalahan berat, wanita mengandung, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
“Angka yang layak dipertimbangkan ialah 20,000 orang yang merupakan pesalah pertama.
“Ia disasarkan kepada pesalah yang melakukan kesalahan tidak serius, contohnya ibu tunggal dihimpit kemiskinan yang mencuri susu kerana ingin memberi anaknya makan dan dijatuhi hukuman penjara,” katanya seperti dilaporkan Bernama hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Parti Keadilan Rakyat Cabang Kota Raja hari ini.
Sehubungan itu, Saifuddin berkata, polemik mengenai siapa yang layak dipertimbang untuk menjalani hukuman itu tidak perlu timbul kerana pesalah perlu melepasi beberapa tahap tapisan termasuk memiliki rekod disiplin baik ketika dipenjara.
Beliau berkata, cadangan menggubal rang undang-undang itu dilaksana berikutan kesesakan serius di 43 penjara di seluruh negara yang menimbulkan keadaan tidak kondusif.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2025 berkata, kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.
Mengikut peruntukan akta itu, pesalah dikehendaki berada di tempat yang dianggap bersesuaian seperti rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan.