Berita Semasa

Belanjawan 2025: Kementerian Pertahanan tumpu usaha perkukuh kesejahteraan warganya

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan akan memberikan fokus terhadap empat perkara bagi memperkemaskan lagi inisiatif seiring dengan peruntukan Belanjawan 2025 sebanyak RM21.13 bilion kepada kementerian itu .

Menurut Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan, empat fokus itu ialah memastikan kesejahteraan warga pertahanan di tahap tertinggi, merencanakan kesiapsiagaan ketenteraan, mengukuhkan keselamatan persempadanan negara, meningkatkan hubungan pertahanan antarabangsa dan memangkin semangat patriotisme sebagai benteng pertahanan terbaik negara.

“Keutamaan Kementerian Pertahanan melalui belanjawan itu melalui kesejahteraan warga pertahanan ialah menyelenggara sekolah dalam kem tentera di bawah Ikhtiar Pendidikan Arus Perdana bagi memastikan ruang pembelajaran yang selesa, selamat dan bermakna untuk anak-anak warga pertahanan menimba ilmu.

“Penambahan pencapaian internet di kem tentera melalui dana di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan membina, menyelenggara dan membaik pulih Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).

“Selain itu, memperkasa perlindungan sosial anggota tentera melalui Skim Ex-Gratia Bencana Kerja melibatkan faedah Ex-Gratia Operasi dan faedah Ex-Gratia Pukal,” katanya hari ini.

Dalam pada itu katanya, bagi memperkasakan kesejahteraan warga veteran ATM pula melalui manfaat peluang pekerjaan melalui Program Baharu Protege-Veteran ATM dengan mewajibkan kontraktor menyediakan peluang pekerjaan untuk veteran ATM, terutamanya yang punyai kelayakan TVET.

“Pelarasan pencen pesara ATM secara berfasa melalui SSPA berdasarkan pelarasan peratusan ke atas gaji akhir pesara mengikut kumpulan perkhidmatan masing-masing termasuk pesara ATM. Kadar Bantuan Sara Hidup (BSH) dinaikkan kepada RM500 sebulan berbanding RM300 pada masa kini, berdasarkan pendapatan garis kemiskinan (PGK).

“Melanjutkan bayaran Penghargaan Khas Kepada Pesara dan penerima pencen terbitan mulai Januari hingga Disember 2025. Peningkatan lantikan Renjer Komuniti melibatkan veteran beruniform dalam membenteng kawasan hutan simpan kekal,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, bagi fokus kedua pula iaitu kesiapsiagaan ketenteraan an pertahanan sempadanan negara peruntukan sebanyak RM5.8 bilion dikhususkan untuk kerja-kerja senggara dan pembaikan serta
perolehan aset-aset ketenteraan baharu.

Katanya, ia termasuk dengan membina dua pos sempadan baharu di Bantul dan Serudung, Sabah serta memperkukuhkan kesiapsiagaan dengan teknologi dron dan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan capaian kawasan boleh diawasi.

Bagi fokus ketiga iaitu hubungan pertahanan antarabangsa pula katanya, kepengerusian ASEAN-MALAYSIA 2025 akan memperkukuhkan kerjasama pertahanan terutamanya melibatkan isu-isu kuasa besar termasuk isu Laut China Selatan dan krisis Myanmar selain memperkukuh kerjasama ekonomi serantau menerusi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC+China buat julung kalinya.

Selain itu, katanya, fokus turut diberikan untuk membangun industri ketenteraan tempatan melalui pemindahan teknologi daripada pembekal aset ketenteraan dan menggalakkan pemain industri tempatan menembusi pasaran eksport.

Pada masa sama katanya, Anugerah Perkhidmatan Awam Madani juga akan diberikan kepada petugas Pasukan MALBATT yang menyumbang tenaga dalam misi di Lubnan dengan pencapaian SMART yang diktiraf sebagai pasukan khas kedua terbaik di Asia Tenggara oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sementara itu katanya, bagi fokus terakhir, peruntukan RM50 juta akan disediakan bagi Program Latihan Khidmat Negara 3.0 yang akan dimulakan secara rintis dengan konsep baharu.

“Belanjawan 2025 Kementerian Pertahanan semestinya akan menyuntik iltizam dan semangat Warga Pertahanan untuk sentiasa mempertingkat kesiapsiagaan demi kedaulatan tanah air Malaysia.

“Kementerian Pertahanan dan ATM akan berusaha sedaya upaya agar peruntukan Bajet 2025 dimanfaatkan dengan telus, berhemah serta berintegriti demi sebuah negara yang selamat, berdaulat dan Makmur,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button