
Azizulhasni, Pandelela raih anugerah sukan tertinggi negara
KUALA LUMPUR – Jaguh basikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan Sukan Negara (ASN) 2021 buat kali kelima hari ini.
Sementara itu, ratu sukan terjun, Datuk Pandelela Rinong buat kali keempat dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan.
Dalam kategori paralimpik pula, atlet powerlifting yang juga pemegang rekod dunia, Bonnie Buyau Gustin dinobatkan sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan manakala anugerah Olahragawati Paralimpik Kebangsaan diberikan kepada perenang Brenda Anellia Larry.
Penganugerahan itu melayakkan setiap atlet menerima sebuah piala, piala iringan, sijil dan wang tunai RM20,000.
Majlis disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini.
Untuk rekod, Azizulhasni yang dikenali dengan gelaran Pocket Rocketman pernah meraih gelaran berkenaan pada 2009, 2010, 2017 dan 2019/20.
Dalam pencalonan anugerah ASN edisi 2021 itu, anak kelahiran Terengganu itu mengenepikan cabaran empat lagi calon iaitu juara badminton, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Buda Anchah (bina badan), Ng Eain Yow (skuasy) dan Syarifuddin Azman (permotoran).
Pencapaian bekas juara dunia itu itu disandarkan kepada pencapaian meraih pingat perak dalam acara keirin pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Pencapaian atlet berusia 35 tahun itu seklaigus mengatasi pencapaian legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Rashid Sidek serta bekas jaguh bina badan negara Sazali Samad, yang berkongsi empat gelaran sebelum ini.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune