Kanak-kanak perempuan paling ramai hilang – Saifuddin
KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,847 kes kehilangan kanak-kanak yang berumur 18 tahun ke bawah direkodkan bagi tempoh 2020 hingga September 2024, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut Saifuddin, daripada jumlah tersebut, purata kanak-kanak hilang adalah sebanyak 770 setahun atau dua kes pada setiap hari di Malaysia.
Lebih membimbangkan, Saifuddin berkata, kanak-kanak perempuan adalah paling ramai hilang dengan 74 peratus, manakala 26 peratus lelaki.
“Menariknya adalah daripada 3,847 kes kanak-kanak hilang ini; umur 18 ke bawah, yang berjaya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) jumpa semula adalah 96 peratus. Maknanya bagi setiap 100 hilang, 96 kita selamatkan dan yang meninggal dunia atau apabila jumpa mati, adalah 10.
“Jadi yang baki itu masih kita klasifikasikan sebagai masih hilang. Dari segi kategori umur kanak kanak yang hilang, paling ramai, umur 13-15 tahun iaitu 54 peratus. Umur 16 hingga 18 tahun (37 peratus),” katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) mengenai usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menangani kes kanak-kanak hilang.
Mengulas mengenai punca kes kehilangan kanak-kanak terbabit, Saifuddin berkata, cari kebebasan, ikut kawan dan kekasih serta salah faham dengan keluarga menjadi faktor penyumbang kepada isu tersebut.
Justeru itu, Saifuddin berkata, bagi menangani kes kehilangan kanak-kanak, PDRM melalui Bahagian D11, Jabatan Siasatan Jenayah telah melaksanakan pelbagai usaha seperti program kesedaran dan bertindak segera dalam mencari kanak-kanak terbabit.
“Setakat tahun ini sebanyak 457 program kesedaran telah dibuat membabitkan 141,000 kanak-kanak, selain mengaktikan segera pencarian sebaik menerima laporan kehilangan kanak-kanak.
“Ia termasuk membuat hebahan secara meluas dan menggunakan Nur Alert, memasukkan dalam portal kanak-kanak hilang selepas diizinkan ibu bapa atau pencaga serta meluaskan pencarian.
“Selepas kanak-kanak ditemui, lazimnya pihaknya akan memberikan sokongan moral dan psikologi kepada keluarga yang terlibat,” ujarnya.