Program Permukiman Perdana Menteri, anggota Kabinet mantapkan sinergi dan kerjasama antara anggota
CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama 31 anggota Jemaah Menteri hari ini menghadiri program Permukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan di Cyberview Resort & Spa, di sini.
Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, program dua hari yang turut dihadiri 15 jemputan khas tersebut diadakan selaras dengan hasrat Perdana Menteri menyampaikan mandat kepada semua Jemaah Menteri dan kepimpinan perkhidmatan tertinggi awam tentang hala tuju dan strategi kerajaan pada 2024 dan bagi jangka masa sederhana dan panjang.
“Di samping itu, program juga bertujuan bagi mencapai penjajaran matlamat (alignment),serta mewujudkan rasa kebersamaan (joint ownership) dan kesatuan (unity) dalam kalangan anggota Jemaah Menteri terhadap pelan tindakan Kerajaan yang bersepadu dan tuntas berteraskan konsep ‘whole of government dan whole of nation’.
“Program permukiman kali ini turut membawa matlamat untuk memantapkan sinergi dan kerjasama antara Jemaah Menteri bersama kepimpinan perkhidmatan awam serta memberdaya iltizam dalam melaksanakan pelan-pelan tindakan tersebut (with “Focused Execution”) untuk merealisasikan aspirasi Ekonomi MADANI,” kata kenyataan itu lagi.
Berlangsung selama dua hari, program yang bermula hari ini tersebut membawakan beberapa sesi wacana dan forum yang melibatkan pakar-pakar dari sektor awam, sektor swasta, industri dan organisasi antarabangsa.
Antara perkara yang dibincangkan mencakupi aspek-aspek penting termasuk Cabaran dan Hala Tuju Ekonomi, Kebajikan dan Keselamatan Sosial,Pembangunan Infrastruktur dan Kemampanan, Tadbir Urus, Inovasi dan Komunikasi ke arah kemakmuran negara.