Jepun kesan wabak selesema burung pertama musim ini
TOKYO – Pihak berkuasa Hokkaido menemukan satu strain selesema burung yang sangat patogenik di sebuah ladang ayam di Hokkaido, Jepun.
Penemuan ini menandakan wabak pertama yang disahkan untuk musim ini, lapor agensi Xinhua
Sehubungan itu, pihak berkuasa telah mula membunuh kira-kira 19,000 ayam di ladang tersebut sebagai langkah pencegahan, yang dijadualkan selesai menjelang esok.
Bagi menyekat penularan wabak itu, sekatan pergerakan turut dilaksanakan, dengan melarang sebarang pengangkutan ayam dan telur dalam radius 3 kilometer dari ladang tersebut dan melarang pengangkutan produk ayam di luar radius 10 kilometer.
Kerajaan Hokkaido menggesa penguatkuasaan ketat langkah-langkah kawalan untuk mencegah penyebaran lebih lanjut dan memberi jaminan kepada orang awam bahawa produk ayam yang sedang berada di pasaran adalah selamat untuk dimakan.
Sebagai respons terhadap wabak ini, kerajaan Jepun telah menubuhkan pejabat penghubung maklumat di Pusat Pengurusan Krisis Perdana Menteri dan mula mengumpul data dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.