ANTAKYA – Satu lagi gempa berukuran 6.3 magnitud dengan kedalaman 2 kilometer (km), melanda wilayah sempadan Turkiye dan Syria pagi tadi waktu Malaysia.
Menurut Menteri Dalam Negeri Turkiye, Suleyman Soylu, sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan 213 cedera selepas beberapa bangunan yang sudah rosak dalam gempa bumi sebelumnya runtuh.
Pusat Seismologi Mediterranean Eropah (EMSC) melaporkan, pusat gempa dikesan berhampiran bandar Antakya di selatan Turkiye di mana gegarannya turut dirasai di Syria, Mesir dan Lubnan.
Gempa pada jam 8.04 malam tadi (jam 1.04 pagi waktu Malaysia) ini turut diikuti beberapa gegaran susulan termasuk satu gempa bumi berukuran 5.8 magnitud.
Untuk rekod, gempa kali ini berlaku hanya dua minggu selepas kawasan itu musnah akibat gegaran lebih kuat yang telah meragut lebih 47,000 korban dan meranapkan ratusan ribu kediaman.