Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Dua suspek kes bunuh pegawai FELCRA didakwa di mahkamah

ALOR SETAR – Dua lelaki yang disyaki terlibat dalam pembunuhan bekas pegawai kewangan FELCRA, Sabari Baharom, 62, tiba di Mahkamah Majistret Kubang Pasu hari ini untuk menghadapi pertuduhan.

Suspek berusia 26 dan 38 tahun itu dijangka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh semalam mengesahkan siasatan terhadap kes bunuh Sabari telah selesai dan kertas siasatan telah diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN), Datuk Khairul Anuar Abdul Halim pada Isnin lalu.

Kedua-dua suspek sebelum itu direman selama seminggu bermula 11 hingga 17 Oktober di Mahkamah Majistret Sungai Petani bagi membantu siasatan.

Kes itu mendapat perhatian umum selepas Sabari dilaporkan hilang pada 3 September, setelah beliau keluar dari rumah menaiki kereta Proton Waja miliknya.

Kehilangan Sabari menjadi misteri apabila keretanya ditemui terbakar di sebuah kawasan pembuangan sampah di Kampung Pulau Belantek, Sik.

Ahli keluarga Sabari mengesyaki beliau dilarikan selepas mendapati terdapat beberapa transaksi pemindahan wang dari akaun bank miliknya ke akaun individu lain dalam tempoh beberapa hari selepas kehilangannya.

Susulan itu, polis menahan dua suspek berkenaan pada 27 September untuk siasatan lanjut. Menurut Datuk Fisol, salah seorang suspek telah mengaku mencampakkan Sabari ke dalam Sungai Padang Terap, Jitra, dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat.

Fisol berkata, operasi mencari mangsa telah dilancarkan selama tiga hari bermula 30 September hingga 2 Oktober, namun dihentikan pada 3 Oktober setelah gagal menemui sebarang petunjuk.

“Kami telah berusaha sedaya upaya dalam operasi pencarian, namun tiada bukti fizikal yang dapat ditemui setakat ini,” katanya lagi.

Kes itu akan terus dibicarakan, dengan orang ramai menantikan perkembangan lanjut berhubung keadilan yang bakal ditegakkan bagi keluarga mangsa.

Show More

Related Articles

Back to top button