Berita Semasa

Pahang mula banjir, 21 keluarga di Temerloh dipindahkan

KUANTAN – Fasa peralihan monsun yang sedang berlaku telah menyebabkan Pahang menjadi negeri terbaharu dilanda banjir dengan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Temerloh.

Keadaan banjir di Johor, Perak, dan Kedah pula tidak banyak berubah dengan jumlah mangsa yang terus bertambah.

Di Pahang, menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebanyak 79 mangsa banjir daripada 21 keluarga telah dipindahkan ke tiga PPS di Temerloh.

Sebanyak 36 orang daripada 12 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Lanchang, manakala 30 orang daripada enam keluarga berlindung di Balai Raya Mempateh.

Sebanyak 13 mangsa daripada tiga keluarga pula dipindahkan ke Dewan SMK Sri Semantan.

Sementara itu, di Johor, jumlah mangsa banjir mencatatkan 201 orang daripada 63 keluarga setakat pukul 6.11 pagi.

Mereka dipindahkan ke empat PPS di tiga daerah yang terjejas, iaitu Kluang dengan 101 mangsa daripada 41 keluarga, Kulai dengan 83 mangsa daripada 19 keluarga dan Batu Pahat yang mencatatkan 17 mangsa daripada tiga keluarga.

Di Perak, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 625 orang daripada 188 keluarga petang tadi, melibatkan tiga daerah iaitu Kerian, Kuala Kangsar dan Hulu Perak.

Sebanyak 10 PPS telah dibuka setakat pukul 4.22 pagi untuk menempatkan mangsa di lokasi seperti Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman di Bagan Serai, Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak dan beberapa sekolah serta dewan di daerah terjejas.

Di Kedah, keadaan banjir semakin buruk apabila jumlah mangsa meningkat kepada 2,485 orang daripada 798 keluarga setakat pukul 4.40 pagi ini, berbanding 2,312 orang daripada 749 keluarga pada pukul 8 malam semalam.

Keadaan itu menandakan peningkatan berterusan dalam jumlah mangsa yang terjejas akibat banjir di negeri itu.

Pihak berkuasa dan agensi keselamatan terus memantau keadaan serta memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas di keempat-empat negeri tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button