Masih ramai belum miliki kediaman, kerajaan digesa kembalikan Kempen Pemilikan Rumah
KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa melaksanakan kembali Kempen Pemilikan Rumah (House Ownership Campaign) yang pernah dilakukan sebelum ini agar dapat membantu mereka yang ingin memiliki rumah sendiri.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata, ini kerana masih ramai warga kota Kuala Lumpur terutamanya golongan B40 masih belum memiliki kediaman sendiri.
“Menurut Kajian Sentimen Pengguna Separuh Kedua 2022 PropertyGuru Malaysia, 51 peratus responden menyatakan mereka tidak layak memohon skim perumahan mampu milik kerajaan dan tidak mampu untuk membeli hartanah tanpa bantuan kewangan.
“Malah keadaan menjadi teruk apabila Kadar Dasar Semalaman (OPR) naik sebanyak 25 mata asas pada 3 November 2022, iaitu kenaikan kali ke-4 berturut-turut bagi tahun lepas dan menjadikan kadar OPR sekarang adalah 2.75. Keadaan ekonomi yang belum pulih berserta dengan inflasi telah menjadikan isu pemilikan rumah golongan B40 sukar tercapai,” katanya katanya di Dewan Negara pada hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu di mana masih ramai warga kota Kuala Lumpur terutamanya golongan B40 masih menunggu dalam sistem pemohonan untuk menyewa rumah kos rendah daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Sehubungan itu, beliau menggesa supaya kerajaan dapat menangani masalah tempoh menunggu yang terlalu lama dan merancang membina lebih banyak rumah kos rendah bagi membantu golongan B40.
Pada masa sama, Hisamudin turut membangkitkan mengenai peruntukan Belanjawan DBKL bagi tahun 2023 yang semakin berkurang sehingga menimbulkan persoalan mengenai kemampuan PBT tersebut menangani isu-isu yang timbul di ibu negara.
“Dengan perbelanjaan pembangunan yang hanya tinggal 25 peratus, ia secara langsung akan menjejaskan banyak kerja-kerja seperti projek-projek mengatasi banjir, pasar, gerai dan kemudahan warga kota lain yang tidak dapat dilaksanakan.
“Saya ingin bertanya, bagaimanakah DBKL mengikuti hala tuju Perdana Menteri menjadikan Kuala Lumpur sebuah Bandar Pintar yang mampu bersaing di pentas dunia menjelang 2030, sedangkan perbelanjaan operasinya yang semakin mengurang?” soalnya.