Orang ramai diajak rebut peluang sertai Seminar Percukaian Kebangsaan
CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mempelawa orang ramai untuk menyertai Seminar Percukaian Kebangsaan (SPK) 2024 yang dibahagikan kepada dua siri pada 23 dan 29 Oktober ini.
Seminar yang diadakan secara fizikal dan hibrid itu bertujuan memberi peluang kepada orang ramai khususnya pengamal percukaian, badan perakaunan dan profesional serta pembayar cukai untuk mengemas kini pengetahuan percukaian.
Selain itu, peserta juga berpeluang mendapatkan maklumat terkini berkenaan dengan pindaan semua Akta yang ditadbir oleh LHDN sempena pembentangan Bajet 2025.
LHDN dalam kenyataannya berkata, Siri 1 SPK 2024 akan diadakan secara fizikal di Hotel Berjaya Times Square, di sini dan juga secara maya pada 23 Oktober ini dengan yuran RM880 dan RM450 (maya).
Manakala Siri 2 pula akan diadakan secara maya melalui aplikasi Zoom pada 29 Oktober ini dengan kadar yuran RM450.
“Tiga topik penting akan dikupas oleh pembentang dan ahli panel berpengalaman terdiri daripada pegawai kanan dari Kementerian Kewangan Malaysia, LHDN, Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM) dan Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (M.A.T.A) pada seminar kali ini.
“Topiknya adalah cadangan Belanjawan 2025, Pelaksanaan e-Invois: Amalan Terbaik dan Cabaran Kepada Perniagaan di Malaysia dan Transaksi Mata Wang Digital: Perspektif Percukaian di Malaysia,” katanya.
Sebagai maklumat tambahan, pihak Pembangunan Sumber Manusia Berhad / Human Resource Development Corporation (HRDC) telah membenarkan majikan yang berdaftar dengan HRDC untuk menuntut kos latihan peserta SPK 2024.
Majikan berdaftar yang berminat hanya perlu memilih ‘Non-Registered Training Provider Details – Government’ di bawah Skim Bantuan Latihan (SBL) semasa membuat permohonan
geran latihan.
Pendaftaran bagi Siri 1 akan dibuka sehingga 20 Oktober 2024, manakala Siri 2 akan dibuka sehingga 25 Oktober 2024 menerusi portal SPK di https://seminar.hasil.gov.my.
Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berkaitan seminar ini boleh dirujuk pada portal tersebut atau dikemukakan kepada pihak Urus Setia SPK 2024 di spkhasil@hasil.gov.my.
https://www.tiktok.com/@malaysiatribune/video/7425568636380794130