Calon Gabenor Maluku Utara terbunuh insiden bot laju meletup, terbakar
JAKARTA – Seorang calon gabenor merupakan antara lima yang terbunuh dalam insiden letupan sebuah bot laju di perairan wilayah Maluku Utara, semalam.
Menurut seorang pegawai kanan keselamatan tempatan, Abdul Muis Uma, kejadian berlaku pada pukul 2.05 petang (waktu tempatan) di Pulau Taliabu.
“Bot yang dinaiki calon Gabenor Maluku Utara, Benny Laos dan ahli rombongannya terbakar selepas ia berlabuh di pelabuhan untuk mengisi minyak, sebelum meneruskan perjalanan untuk berkempen.
“Lima orang maut, sembilan cedera dan beberapa lagi masih terperangkap di dalam bot,” kata Abdul kepada agensi Xinhua.
Insiden sama turut mencederakan sembilan lagi penumpang bot berkenaan.
Abdul bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai bilangan mangsa yang tidak dapat melarikan diri dan jumlah sebenar penumpang bot malang berkenaan.
Sementara itu, Ketua Unit Logistik bagi Agensi Pengurusan dan Mitigasi Bencana Wilayah, Yusri Abdul Kasim memberitahu Xinhua bahawa letupan berlaku sejurus sebelum kebakaran.
“Kesemua mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital berdekatan untuk rawatan,” kata Yusri.