
Kakitangan KKM cedera, kenderaan terbabas masuk parit
Lokasi kejadian kira-kira 1km dari lokasi nahas bas persiaran semalam
IPOH – Dua kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) cedera setelah kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terlibat dalam satu kemalangan ketika menuruni laluan Terowong Menora, dekat sini pagi tadi.
Kejadian tersebut berlaku di Kilometer 263.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, iaitu kira-kira 1 kilometer dari lokasi nahas bas persiaran yang membawa 39 penumpang terbalik, semalam.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 8.23 pagi tadi.
Tambahnya, maklumat awal memaklumkan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Pajero yang dinaiki dua lelaki telah terbabas di bahu jalan.
“Kejadian mengakibatkan pemandu dan penumpangnya masing-masing berusia 49 dan 43 tahun cedera di muka.
“Tindakan ketua operasi mengarahkan anggota memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke hospital terdekat menaiki jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Nahas tersebut, bagaimanapun tidak melibatkan kenderaan lain.
“Operasi dilaksanakan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya itu tamat pada jam 9.03 pagi,” katanya lagi.
Semalam, sebuah bas yang membawa 40 penumpang dilaporkan terbabas lalu terbalik dalam parit di Kilometer 264.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |