Selangor tingkat persediaan hadapi fenomena air pasang besar
SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mengambil langkah awal dengan memperbaiki projek ban serta memantau kawasan berisiko banjir menjelang fenomena air pasang besar yang diramalkan akan berlaku tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan serta Pengurusan Bencana Negeri, Mohd Najwan Halimi berkata, pelbagai langkah persediaan telah dilaksanakan, termasuk program simulasi untuk menghadapi bencana tersebut.
“Minggu lalu, kami menjalankan latihan dan simulasi yang melibatkan 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta sembilan pejabat daerah bagi memastikan kaedah terbaik dalam persiapan menghadapi air pasang besar,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Sukan Negara 2024 (HSN2024) peringkat Selangor di Shah Alam, hari ini.
Najwan berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri turut memutuskan untuk terus memantau dan memperbaiki projek ban serta usaha mitigasi banjir yang sedang dijalankan, terutama di kawasan kritikal seperti Kuala Selangor.
“Kuala Selangor menghadapi isu ban pecah yang menyebabkan air naik. Kami kini sedang dalam proses membaik pulih ban tersebut,” katanya lagi.
Najwan turut berkata, kawasan-kawasan yang sering dilanda banjir kilat, termasuk Petaling dan Gombak, dipantau secara berterusan.
Pasukan keselamatan di peringkat PBT juga sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Banjir kilat yang melanda di beberapa kawasan, termasuk Kuala Selangor, namun pusat pemindahan sementara (PPS) sudah selesai ditutup tanpa melibatkan sebarang kemalangan jiwa,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menyatakan bahawa sambutan Hari Sukan Negara 2024 (HSN2024) peringkat Selangor telah menarik lebih 2,000 pengunjung.
“HSN2024 adalah inisiatif kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri bagi merakyatkan sukan kepada semua lapisan masyarakat,” katanya lagi.