Kuwait tiada halangan Malaysia beli jet tempur Hornet
KUWAIT – Kuwait menyatakan sokongan kepada Malaysia berhubung hasrat untuk memperoleh jet tempur F/A 18 Legacy Hornet yang dimiliki oleh Tentera Udara Kuwait.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu dicapai selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Kuwait, Sheikh Mohammed Sabah al-Salem Al-Sabah di sini hari ini.
Khaled berkata, Malaysia juga memberikan komitmen untuk memperkukuh hubungan dengan Kuwait melalui kerjasama yang lebih erat, terutamanya dalam aspek pertahanan.
“Langkah itu dilihat sebagai usaha penting bagi memperkuatkan keupayaan pertahanan Malaysia dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau yang semakin kompleks.
“Perdana Menteri Kuwait memahami keperluan Malaysia dan memberi jaminan tiada halangan terhadap permintaan untuk mendapatkan jet tempur tersebut,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Katanya, selain bidang pertahanan, perbincangan itu juga menyentuh kerjasama strategik dalam bidang lain, sekali gus membuka ruang kepada peluang lebih luas bagi kedua-dua negara untuk saling melengkapi antara satu sama lain.
Pada masa sama beliau turut menzahirkan harapannya agar kunjungan Perdana Menteri Kuwait ke Malaysia pada 2025 sempena Persidangan ASEAN-GCC akan terus mengukuhkan hubungan diplomatik dan kerjasama ekonomi antara negara-negara ASEAN dengan rantau Teluk.
“Dengan sokongan Kuwait, Malaysia kini berada di landasan yang lebih baik untuk meningkatkan aset pertahanannya sambil mengukuhkan hubungan diplomatik dengan rakan serantau yang berkongsi kepentingan yang sama,” katanya lagi.